Peniaga lesap setengah juta selepas buat ‘kerja sambilan’ atas talian
KUALA TERENGGANU – Gara-gara terpedaya dengan tawaran kerja sambilan atas talian yang menjanjikan pulangan lumayan, seorang peniaga buah-buahan dan ternakan lembu kerugian lebih setengah juta ringgit selepas diperdaya sindiket penipuan.
Mangsa berusia 38 tahun itu sebelum ini menjalankan perniagaan runcit di sebuah pasar di daerah ini dan dikatakan mula berurusan dengan sindiket berkenaan sejak 14 Mei lalu selepas dihubungi kenalan melalui Facebook.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, suspek menawarkan kerja sambilan kepada mangsa dengan mendakwa ia mampu menjana pendapatan lumayan hanya dengan melakukan tugasan mudah secara atas talian.
“Mangsa yang tertarik dengan tawaran itu diarahkan memuat turun satu aplikasi pembelian terkenal menerusi pautan diberikan.
“Selepas aplikasi dimuat turun, mangsa mula diberi tugasan kononnya oleh pihak ‘khidmat pelanggan’ dan diminta membuat pembelian pelbagai barangan menerusi aplikasi terbabit,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurut Azli, pada peringkat awal mangsa menerima pulangan modal seperti dijanjikan, namun selepas beberapa transaksi, mangsa mula menyedari dia sudah ditipu apabila tidak menerima sebarang komisen walaupun menyelesaikan semua tugasan diberikan.
Katanya, menyedari ditipu, mangsa tampil membuat laporan di Balai Polis Kuala Terengganu pada jam 2.29 petang semalam.
“Sepanjang berurusan dengan sindiket itu, mangsa membuat 38 transaksi ke 22 akaun bank berbeza membabitkan jumlah keseluruhan kerugian sebanyak RM500,639.
“Mangsa juga dipercayai menggunakan wang simpanan, kad kredit dan pinjaman daripada kenalan untuk melunaskan bayaran kononnya bagi melengkapkan tugasan,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |









One Comment