
Bapa dan anak maut dalam perjalanan ke tabika
HULU TERENGGANU – Seorang bapa bersama anaknya maut selepas motosikal yang dinaiki mereka merempuh sebuah kereta dalam kejadian di Kilometer 15, Jalan Gaung-Kuala Ping-Teris, pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintenden Zainul Mujahidin Mat Yudin berkata, kejadian berlaku sekitar pukul 7.45 pagi ketika kedua-dua mangsa, Muhammad Daim Irfanshah Saiful Azrin, 6, dan bapanya, Saiful Azrin Awang, 42, dalam perjalanan ke tabika.
Menurut beliau, Muhammad Daim meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala bapanya disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Hulu Terengganu pada pukul 12 tengah hari.
“Siasatan awal mendapati Proton Saga yang dipandu seorang lelaki berusia 29 tahun kakitangan Klinik Kesihatan Tengkawang dalam perjalanan menuju ke tempat kerja.
“Ketika pemandu hendak membelok ke simpang kanan klinik, motosikal mangsa yang datang dari arah bertentangan, Kampung Gaung, tiba-tiba merempuh bahagian tepi kiri kereta tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zainul berkata, Saiful Azrin yang menunggang motosikal jenis Yamaha Ego Avantiz mengalami kecederaan parah dengan pendarahan dalam paru-paru dan patah tulang tengkorak sebelum dibawa ke Hospital Hulu Terengganu untuk rawatan lanjut.
Jenazah kedua-dua mangsa telah dibawa ke Unit Forensik hospital bagi proses bedah siasat dan kes itu disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








