Mahkamah Tinggi Temerloh tolak tuntutan warga emas 94 tahun berhubung pemilikan tanah di Raub
TEMERLOH – Seorang wanita warga emas berusia 94 tahun gagal dalam usaha terbaharunya untuk mendapatkan semula tanah seluas kira-kira 0.1 hektar di Mukim Gali, Raub selepas Mahkamah Tinggi di sini semalam, menolak tuntutan saman yang difailkannya.
Menurut laporan Bernama, keputusan dibuat selepas mahkamah meneliti keseluruhan keterangan dan dokumen yang dibentangkan sepanjang prosiding.
Hakim Roslan Mat Nor yang menyampaikan keputusan itu turut memerintahkan plaintif, A. Sandramadi membayar kos sebanyak RM10,000 kepada Pentadbir Tanah Daerah Raub serta Pengarah Tanah dan Galian Pahang selaku defendan.
“Keputusan ini dibuat selepas penelitian terhadap keterangan saksi dan dokumen daripada kedua-dua pihak.
“Kos tersebut bukan hukuman kepada plaintif namun mahkamah perlu mengambil kira usaha pihak defendan dalam menyediakan pembelaan,” katanya.
Peguam R Kengadharan yang mewakili Sandramadi ketika ditemui berkata, pihaknya menghormati keputusan tersebut dan akan memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan.
Defendan pula diwakili Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri, Fathin Nadhirah Kasim.
Kes berkenaan mempunyai sejarah panjang apabila Sandramadi pertama kali memfailkan tuntutan pemilikan tanah itu di mahkamah sama pada 2019 namun permohonan tersebut ditolak.
Beliau kemudian memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan pada 2020 dan mahkamah memutuskan terdapat merit dalam permohonannya sebelum mengembalikan kes itu ke Mahkamah Tinggi Temerloh untuk dibicarakan.
Media sebelum ini melaporkan bahawa Sandramadi mendakwa sebahagian tanah miliknya telah diceroboh pihak ketiga namun beliau terus menetap di kawasan berkenaan sehingga kini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








