BERITA SEMASA

Bendera Palestin berkibar megah di Lembah Sireh, tanda solidariti rakyat Kelantan

KOTA BHARU – Perarakan lebih 700 buah bot yang mengibarkan bendera Palestin di Padang Lembah Sireh, di sini baru-baru ini menjadi bukti perpaduan dan keprihatinan rakyat Malaysia terhadap isu kemanusiaan global.

Dianjurkan oleh Eskayvie Sdn. Bhd. (Eskayvie), program Himpunan 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza itu berjaya menarik kehadiran lebih 15,000 orang daripada pelbagai lapisan masyarakat.

Pengarah Urusan Eskayvie, Dr. Kartika Wati Mohamed berkata, acara itu menyaksikan 780 buah bot berarak di Sungai Kelantan yang membawa bendera Palestin sebagai lambang kebersamaan dan keprihatinan terhadap nasib penduduk Gaza.

Eskayvie Palestin
Kartika (tengah) turut menyertai pelayaran tersebut sebagai tanda solidariti buat penduduk Gaza dan rakyat Palestin.

“Isu Gaza bukan sekadar konflik serantau tetapi tragedi kemanusiaan sejagat yang menuntut keprihatinan dan tindakan berterusan daripada masyarakat antarabangsa.

“Walaupun dipisahkan oleh jarak geografi, setiap suara dan tindakan kecil diyakini mampu membentuk gelombang kesedaran besar yang membawa perubahan bermakna.

“Acara ini bukan semata-mata simbolik tetapi cerminan komitmen bahawa kita bersama rakyat Palestin dalam memperjuangkan kebenaran dan kemanusiaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Sebagai anak jati Kelantan yang dibesarkan dengan nilai keislaman dan kasih sesama insan, Kartika menegaskan bahawa setiap individu mempunyai tanggungjawab moral untuk bersatu menentang kezaliman dan mempertahankan hak asasi manusia.

“Perhimpunan seperti ini menyatukan hati rakyat Malaysia. Ia menjadi platform untuk menunjukkan kepada dunia bahawa kita tidak akan berdiam diri terhadap penindasan. Kita bersuara kerana kita peduli,” ujarnya lagi.

Sejak tahun lalu, Yayasan Eskayvie bersama rakan strategik Cinta Gaza Malaysia (CGM) telah menyalurkan pelbagai bentuk bantuan kemanusiaan bagi meringankan beban rakyat Gaza.

Sebahagian kapal dan bot yang belayar di Sungai Kelantan sempena program tersebut.

Antara inisiatif yang dilaksanakan termasuk sumbangan bernilai RM200,000 dalam bentuk makanan panas kepada mangsa perang, kempen kesedaran awam serta program usrah perdana sebagai sebahagian daripada komitmen berterusan dalam misi bantuan kemanusiaan global.

“Sebagai organisasi korporat yang berpegang kepada prinsip kesejahteraan insan, kami percaya usaha seperti ini perlu disokong bersama.

“Bila suara rakyat bersatu, dunia akan mula mendengar,” tambah Kartika.

Perhimpunan 500 Pelayaran Solidariti Kelantan Untuk Gaza itu dianjurkan dengan kerjasama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan.

Program itu menjadi wadah penyatuan rakyat dalam memperkukuh nilai kemanusiaan, persaudaraan dan solidariti global melalui platform yang aman, penuh semangat dan berimpak tinggi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button