BERITA SEMASAPOLITIK

‘Kabinet bekerja’ perkukuh agenda MADANI, MPU jadi teras pendidikan tinggi negara – Zambry

SERDANG – Struktur Kabinet baharu yang dibentuk Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai sebuah kabinet bekerja yang menggabungkan pengalaman dan tenaga muda bagi memastikan pelaksanaan agenda MADANI berjalan dengan lebih berkesan.

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pendekatan tersebut membolehkan gabungan menteri kanan, tokoh berpengalaman serta pemimpin muda digembleng dalam satu pasukan yang mantap bagi menjayakan agenda perubahan seperti yang digariskan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Seperti yang disebutkan oleh Perdana Menteri, ini adalah kabinet bekerja.

“Gabungan senior dan junior, veteran dan orang muda diletakkan dalam satu pasukan bagi memastikan agenda MADANI dapat dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Peluncuran Training of Trainers (TOT) Mata Pelajaran Umum (MPU) Perdana di Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Zambry menegaskan kepentingan (MPU) sebagai asas pembentukan mahasiswa di institusi pendidikan tinggi, selari dengan hala tuju baharu pendidikan negara.

Menurut beliau, MPU merupakan antara agenda besar yang sedang diberi penekanan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana peranannya dalam membentuk jati diri, kefahaman kenegaraan serta nilai teras pelajar universiti.

“MPU ini adalah asas kepada mata pelajaran di peringkat pendidikan tinggi.

“Ia bukan sekadar subjek tambahan tetapi memainkan peranan penting dalam membina sistem pendidikan tinggi yang berteraskan kepada negara kita,” katanya.

Zambry turut memaklumkan bahawa KPT telah menyiapkan Pelan Pendidikan Tinggi Negara bagi tempoh 10 tahun akan datang yang dijangka dibentangkan dan dilancarkan oleh Perdana Menteri dalam masa terdekat.

Selain itu, beberapa perubahan dasar dan perundangan turut dirancang termasuk pindaan akta berkaitan politeknik serta pelaksanaan program berimpak tinggi seperti Festival of Ideas (FOI).

Mengulas isu-isu sensitif berkaitan pendidikan, beliau menegaskan agar sebarang perbahasan tidak dijadikan bahan politik semata-mata sehingga mengaburkan objektif sebenar pembangunan pendidikan negara.

“Hal-hal ini perlu dilihat dalam konteks Perlembagaan, Falsafah Pendidikan Negara dan sistem pendidikan sedia ada, bukan dibawa kepada perbahasan politik yang beremosi,” tegasnya.

Dalam pada itu, Zambry turut mengalu-alukan pelantikan Adam Adli sebagai Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi yang baharu, sambil menyifatkan gabungan pengalaman dan latar belakang aktivis mahasiswa itu sebagai satu kelebihan kepada kementerian.

“Saya yakin beliau dapat bekerjasama dengan baik kerana matlamat kita sama, iaitu memastikan sistem pendidikan tinggi negara berjalan dengan sebaik-baiknya,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button