UPM mohon maaf kes tembak anjing liar, bakal perbaiki SOP
SERDANG – Universiti Putra Malaysia (UPM) memohon maaf berhubung dakwaan insiden menembak dan meracun anjing liar di kawasan kampusnya yang tular di media sosial hingga mencetuskan kebimbangan orang ramai.
Menurut UPM, pihak universiti kesal dengan kejadian yang dilaporkan berlaku pada akhir tahun 2024 dan memohon maaf atas kelemahan dalam pengendalian isu berkenaan.
“UPM melahirkan rasa kesal dan memohon maaf atas kes membabitkan pengendalian anjing liar yang dilaporkan berlaku pada akhir tahun 2024,” katanya dalam kenyataan.
UPM turut menghargai keprihatinan masyarakat terhadap kebajikan haiwan serta menegaskan komitmennya bahawa pengurusan haiwan liar di kampus akan dilaksanakan secara beretika, berhemah dan berpandukan peraturan semasa.
Bagi memastikan ketelusan, UPM memaklumkan siasatan berkaitan kejadian tersebut diserahkan sepenuhnya kepada polis dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), di samping memberi jaminan untuk bekerjasama sepenuhnya dalam proses siasatan.
Sebagai langkah awal, Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) digantung daripada tugas operasi, manakala semua aktiviti pengendalian haiwan liar di kampus dihentikan sementara sehingga tatacara operasi standard (SOP) baharu diperkenalkan.
SOP berkenaan akan memberi penekanan terhadap keseimbangan antara keselamatan manusia, kebajikan haiwan serta pematuhan kepada Akta Kebajikan Haiwan 2015.
Universiti itu turut menegaskan komitmennya terhadap prinsip kesihatan sejagat yang menggabungkan kesejahteraan manusia, haiwan dan alam sekitar, selain berikrar mengambil iktibar daripada insiden terbabit.
Pada 3 Oktober lalu, Naib Presiden Pertubuhan Perlindungan Khazanah Alam Malaysia (Peka), Dr. Kartini Farah Rahim mendakwa Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHMO) UPM telah mengupah syarikat kawalan makhluk perosak untuk menembak dan meracun anjing liar di kawasan kampus.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








