
MBSP akan kompaun pemilik anjing serang, gigit pelajar
NIBONG TEBAL – Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah melakukan siasatan ke atas pemilik seekor anjing yang menyerang dan menggigit seorang pelajar sekolah, di sini semalam.
MBSP dalam satu kenyataan hari ini berkata, pihaknya akan mengeluarkan kompaun terhadap pemilik selain melakukan pemeriksaan di sebuah rumah di Taman Pekatra Indah, Simpang Ampat, di sini.
Jelas kenyataan itu, anjing tersebut telah dipindahkan oleh pemilik ke satu pusat perlindungan haiwan di Butterworth.
“Oleh itu, MBSP akan melaksanakan siasatan lanjut bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai lokasi sebenar anjing terbabit berada dan tindakan dengan mengeluarkan kompaun menyebabkan kacau ganggu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 kepada pemilik akan diambil.
“Manakala mengenai kes gigitan anjing, perkara ini adalah dibawah kawalan Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan mangsa dinasihatkan untuk membuat rawatan dan pemeriksaan susulan di klinik atau hospital berhampiran.
“Kes ini akan disalurkan kepada pihak JPV untuk tindakan lanjut di bawah Protokol Veterinar Malaysia,” kata kenyataan itu.
Terdahulu, satu video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2 minit dan lima saat yang memaparkan dua pelajar perempuan berjalan kaki dipercayai untuk ke sekolah sebelum seekor anjing yang keluar dari sebuah rumah menyerang dan menggigit salah seorang pelajar itu, menjadi tular di media sosial semalam.
Dalam video berkenaan, kelihatan pemilik anjing terbabit menjerit dan cuba menghentikan tindakan haiwan peliharaannya, namun didapati anjing miliknya terus menyerang dan menggigit pelajar sekolah terbabit hingga mangsa jatuh beberapa kali.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















