Restoran nasi kandar popular di Pulau Pinang diarah tutup kerana kotor
BUTTERWORTH — Premis makanan terkenal yang menghidangkan nasi kandar di Butterworth diarahkan tutup serta-merta selepas didapati beroperasi dalam keadaan kebersihan yang tidak memuaskan dan membimbangkan, semalam.
Menurut kenyataan rasmi Majlis Bandaraya Sebarang Perai (MBSP), tindakan itu diambil susulan Operasi Bersepadu yang diketuai Jabatan Perkhidmatan Kesihatan MBSP, dengan kerjasama Direktorat Penguatkuasaan dan PKD Seberang Perai Utara.
“Penutupan premis dibuat di bawah Akta Makanan 1983 selepas premis didapati tidak memenuhi piawaian kebersihan dan keselamatan makanan.
“Pemeriksaan dijalankan mendapati pelbagai aspek kebersihan telah diabaikan, justeru tindakan penutupan serta-merta adalah perlu demi menjamin keselamatan dan kesihatan pengguna,” jelas kenyataan tersebut.
Selain penutupan premis, pihak berkuasa mengeluarkan empat kompaun berjumlah RM4,000 serta dua notis atas kesalahan meletakkan halangan di tempat awam dan kegagalan mengemukakan dokumen pengesahan visa sah bagi pekerja asing.
MBSP menegaskan operasi itu mencerminkan iltizam pihak berkuasa tempatan dalam memastikan tahap kebersihan, pematuhan undang-undang dan keselamatan makanan di premis-premis perniagaan sentiasa berada pada tahap tertinggi.
“MBSP tidak akan berkompromi terhadap mana-mana premis yang gagal mematuhi peraturan kebersihan dan keselamatan makanan. Tindakan penguatkuasaan akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi memastikan kesejahteraan pengguna sentiasa terpelihara,” tegasnya lagi.
Sehubungan itu, semua pengusaha premis makanan diingatkan sentiasa memastikan premis masing-masing berada dalam keadaan bersih dan teratur serta mematuhi segala peraturan yang ditetapkan di bawah undang-undang sedia ada.
“Aspek kebersihan bukan sahaja mencerminkan imej perniagaan, malah menjadi asas utama dalam membina kepercayaan pelanggan terhadap kualiti perkhidmatan yang ditawarkan,” tambah kenyataan tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |



