BERITA SEMASADALAM NEGERI

Patin 8 kg angkat Haron jadi juara Cabaran Joran Selangor 2025

SERDANG – Aksi patin menganas di saat-saat akhir mencuri tumpuan lebih 500 kaki pancing yang menyertai Cabaran Joran Selangor 2025 bersempena promosi Tahun Melawat Malaysia 2026, kelmarin.

Pertandingan anjuran bersama Lestari Events dan UPM Holdings dengan kerjasama Tourism Malaysia itu menerima penyertaan luar biasa, termasuk peserta dari Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Perak, serta wakil dari China yang pertama kali berentap di kolam UPM.

Sejak awal pagi, peserta sabar menunggu tarikan namun menjelang detik penamat, suasana menjadi gamat apabila patin mula galak menyambar umpan, memaksa joran melentur dan peserta berhempas pulas mengawal asakan.

Spesies tongsan, rohu dan lekoh turut memberi cabaran sengit kepada kaki pancing yang bertarung di Kolam 1 dan 2, Bukit Ekspo, Universiti Putra Malaysia (UPM) bagi.

Kemenangan Cabaran Joran Selangor 2025 menjadi milik Haron Harrani Abdullah, 31, dari Dengkil selepas beliau berjaya menaikkan seekor patin seberat 8.055 kilogram menggunakan umpan roti pandan.

Tangkapan itu melayakkannya membawa pulang wang tunai RM10,000.

Haron, yang bekerja sendiri dan sudah 15 tahun aktif dalam dunia pertandingan memancing menyifatkan kejayaan itu hasil pengalaman dan sokongan rakan-rakan.

“Saya gembira dan bersyukur. Selain hadiah, saya hargai persahabatan dan perkongsian ilmu di tepi kolam seperti ini,” katanya tersenyum.

Tempat kedua dimenangi Azrull Fitri Sharifuddin, 51, dari Sungai Besi dengan patin seberat 6.320 kilogram sekali gus meraih RM3,000.

Mohd Fairuz Bilal, 41, dari Sungai Merab, Selangor pula berada di tempat ketiga dengan tangkapan patin 6.235 kilogram, membawa pulang RM1,000.

Haron Harrani Abdullah (tengah) bersama Azrull Fitri Sharifuddin (kiri) dan Mohd Fairuz Bilal (kanan) yang memenangi hadiah utama Joran Selangor 2025 di UPM, Sabtu lalu.

Pengurus Besar, UPM Business Management Sdn Bhd, Shahril Dasti berkata, penyertaan pada acara itu membuktikan potensi besar kolam pancing UPM untuk dijadikan pusat rekreasi setempat.

Katanya, lokasi itu bukan sahaja sesuai untuk pertandingan memancing malah mampu menarik keluarga dan pelancong untuk beriadah.

Beliau turut mengumumkan rancangan menganjurkan satu lagi pertandingan memancing pada bulan November sempena Pesta Konvokesyen UPM dengan tawaran hadiah yang lebih lumayan bagi menarik lebih ramai peserta dari dalam dan luar negara.

Selain memancing, Bukit Ekspo UPM menawarkan pelbagai aktiviti rekreasi seperti golf, paintball, abseiling dan aktiviti santai lain yang sesuai untuk semua peringkat umur.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button