Dua keping emas, wang tunai RM11,000 menanti pemenang di Cabaran Ngail Nismilan 2025
SEREMBAN – Dua keping emas bernilai RM10,000 dan hadiah wang tunai keseluruhan RM11,000 bakal menjadi rebutan dalam Cabaran Ngail Nismilan 2025 yang akan berlangsung di Taman Tasik Seremban, Ahad ini.
Pada tahun ini, Majlis Bandaraya Seremban (MBS) selaku penganjur acara menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa dua keping emas bernilai RM5,000 setiap satu, menjadikan nilai keseluruhan hadiah emas sahaja berjumlah RM10,000.
Selain itu, peserta juga berpeluang merebut hadiah wang tunai bernilai RM11,000 menerusi “Hadiah Sapu Bersih” termasuk RM4,000 untuk juara; RM1,000 untuk tempat kedua dan RM500 untuk tempat ketiga serta hadiah tunai hingga ke ranking ke-100 sebagai insentif kepada semua peserta.
Tambah menarik, pertandingan kali ini terbuka kepada semua spesies ikan yang berjaya dipancing termasuk patin, rohu, tongsan, lampam, tilapia, keli, puyu dan baung, menjadikan saingan lebih adil dan terbuka.
Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, acara memancing berprestij yang dinanti-nantikan itu kembali memeriahkan kalendar pelancongan negeri selepas dua tahun tidak dianjurkan.
Katanya, penganjuran pertandingan dengan kerjasama NS Events itu turut mendapat sokongan Tourism Malaysia bersempena sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.
“Penganjuran kali ini bukan sekadar pertandingan memancing semata-mata malah berperanan menggalakkan gaya hidup sihat bagi memperkukuh hubungan kekeluargaan selain menyemarakkan pelancongan komuniti setempat.
“Cabaran ini juga bertepatan dengan usaha penjenamaan semula Taman Tasik Seremban sebagai destinasi rekreasi utama, selaras dengan sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026,” katanya selepas melepaskan ikan sebagai persediaan Cabaran Ngail Nismilan 2025 di Taman Tasik Seremban, hari ini.

Hampir 200 kilogram ikan baung seberat antara 600 gram hingga dua kilogram telah dilepaskan pada majlis ringkas itu.
Cabaran Ngail Nismilan boleh disertai dengan yuran RM40 untuk satu joran dua mata, manakala pendaftaran peserta boleh dibuat di lokasi pertandingan pada hari Sabtu ini (2 Ogos) dari pukul 3.00 petang hingga 7.00 malam.
Manakala pada hari pertandingan, kaunter pendaftaran akan dibuka seawal pukul 6.30 pagi hingga 10.00 pagi.
Untuk maklumat lanjut, orang ramai boleh menghubungi urus setia di talian 013-266 1077 atau layari laman Facebook rasmi di facebook.com/jorankl.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








