Raih 48 pingat di kejohanan kulinari dunia, Zahid sifatkan pencapaian KEMAS luar biasa
KUALA LUMPUR – Seramai 49 Pemaju Masyarakat Kemahiran bidang Masakan Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) mencipta kejayaan membanggakan apabila membawa pulang 48 pingat dalam Kejuaraan Cef Dunia 2026 yang berlangsung di Johor Bahru dari 21 hingga 23 Mei lalu.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pencapaian tersebut merupakan satu kejayaan luar biasa memandangkan kejohanan bertaraf antarabangsa itu menghimpunkan peserta dari lebih 40 negara.
Menurut beliau, kejayaan berkenaan bukan sahaja membuktikan keupayaan tenaga pengajar dan peserta KEMAS bersaing di peringkat global malah berjaya mengharumkan nama Malaysia dalam bidang kulinari antarabangsa.
“Pencapaian membawa pulang 48 pingat dalam kejohanan dunia ini merupakan sesuatu yang wajar dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia.
“Ia membuktikan bakat dan kemahiran yang dimiliki warga KEMAS mampu berdiri sebaris dengan peserta terbaik dunia,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) turut merakamkan penghargaan kepada semua peserta, jurulatih, tenaga pengajar dan warga KEMAS yang telah bertungkus-lumus membuat persediaan sehingga berjaya meraih pengiktirafan di pentas antarabangsa.
Beliau berkata, kejayaan tersebut turut memperkenalkan identiti kulinari Malaysia kepada masyarakat dunia menerusi gabungan masakan tradisional dan seni kulinari moden yang dipersembahkan dengan penuh kreativiti serta profesionalisme.
Katanya, pencapaian itu membuktikan institusi latihan kemahiran di bawah KKDW terus relevan dalam melahirkan tenaga mahir berdaya saing yang mampu mencabar peserta dari pelbagai negara.
“Saya percaya kejayaan ini akan meningkatkan lagi imej dan kualiti Pemaju Masyarakat bidang Masakan KEMAS, selain membuka mata lebih ramai golongan muda bahawa bidang kemahiran mampu menjadi laluan kerjaya yang menjanjikan masa depan cemerlang,” katanya.
Beliau turut berharap warga KEMAS akan terus mengekalkan kecemerlangan dan melahirkan lebih ramai bakat berkemahiran tinggi yang mampu mengangkat nama Malaysia di persada dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















