Rakyat Malaysia seludup dadah bernilai RM708,000 ke Singapura ditahan
KUALA LUMPUR – Seorang lelaki warga Malaysia berusia 24 tahun berdepan tindakan undang-undang selepas ditahan kerana disyaki menyeludup lebih dua kilogram dadah bernilai kira-kira RM708,000 ke Singapura, Rabu lalu.
Cubaan itu dikesan di Pusat Pemeriksaan Tuas selepas pegawai Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan Singapura (ICA) mengarahkan motosikal bernombor pendaftaran Malaysia yang ditunggang lelaki terbabit menjalani pemeriksaan lebih menyeluruh.
Pemeriksaan menemukan lima bungkusan disyaki mengandungi dadah yang disembunyikan di dalam sebuah beg, di bawah baju hujan dalam kotak simpanan motosikal berkenaan.
ICA menerusi hantaran di Facebook memaklumkan, penemuan itu membabitkan kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine atau syabu, dengan nilai keseluruhan melebihi 222,000 dolar Singapura.
“Pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) segera dimaklumkan mengenai penemuan berkenaan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap lelaki itu dan motosikalnya.
“Sebanyak kira-kira 1,924 gram heroin dan 164 gram methamphetamine dirampas,” menurut kenyataan itu.
ICA berkata, pegawai Biro Narkotik Pusat (CNB) dimaklumkan sebelum menjalankan pemeriksaan lanjut terhadap lelaki berkenaan dan motosikalnya.
Dadah yang dirampas itu dianggarkan berpotensi menampung ketagihan kira-kira 1,010 penagih selama seminggu.
Lelaki itu kini ditahan bagi membantu siasatan yang masih dijalankan.
Mengikut Seksyen 7 Akta Penyalahgunaan Dadah Singapura 1973, kesalahan mengimport atau mengeksport lebih 15 gram diamorphine atau heroin tulen boleh membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
ICA menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan CNB untuk membanteras penyeludupan dadah merentasi sempadan, selain memperketat pemeriksaan keselamatan di semua pusat pemeriksaan bagi mengesan kemasukan barangan terlarang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








