
GDB Holdings raih kontrak RM1.02 bilion bina kediaman mewah Desa ParkCity
KUALA LUMPUR – Syarikat pembinaan GDB Holdings Berhad menerusi anak syarikat milik penuhnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd meraih kontrak bernilai RM1.02 bilion bagi membina projek kediaman mewah ParkCity Residences di Desa ParkCity, di sini.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia semalam, syarikat tersebut menyatakan bahawa surat anugerah (LOA) dengan nilai tepat RM1.017 bilion itu diterima daripada pemaju hartanah, Perdana ParkCity Sdn Bhd.
Skop kerja projek melibatkan pembinaan dua blok pangsapuri mewah masing-masing setinggi 49 dan 63 tingkat yang merangkumi keseluruhan 433 unit kediaman.
Projek berkenaan turut merangkumi sebuah podium kemudahan penduduk dan tempat letak kereta setinggi tujuh tingkat serta ruang tempat letak kereta bawah tanah dua tingkat.
Kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pada November 2026 dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Ogos 2031, dengan tempoh pelaksanaan selama kira-kira 57 bulan.
Pencapaian terbaharu itu menandakan kontrak pembinaan kediaman terbesar yang pernah diperoleh dalam sejarah syarikat, sekali gus melonjakkan nilai keseluruhan kontrak yang diraih bagi tahun semasa kepada RM1.81 bilion.
Perolehan projek berskala mega berkenaan turut meningkatkan baki nilai pesanan (order book) belum dibil syarikat kepada kira-kira RM2.05 bilion, yang dijangka memberi kejelasan pendapatan kukuh sehingga tahun kewangan 2031.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
