Menara KL perkenal maskot baharu ‘Kay Elle’, lancar pertandingan rekaan ikon rakyat Malaysia
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur hari ini memperkenalkan maskot terbaharunya, Kay Elle, yang menjadi simbol kemesraan, kepelbagaian dan perpaduan rakyat Malaysia untuk tatapan pengunjung di bangunan ikonik itu.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LSH Service Master Sdn Bhd, Khairil Faizal Othman, Kay Elle bukan sekadar maskot sebaliknya melambangkan identiti dan semangat rakyat negara ini.
“Kay Elle adalah personaliti, pencerita dan simbol kita semua yang mesra serta berbangga dengan warisan, kaya kepelbagaian dan bersatu dalam semangat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Bagi memeriahkan pelancaran tersebut, Menara KL turut menganjurkan pertandingan rekaan maskot baharu bertemakan “Befriend Kay Elle” yang menawarkan hadiah wang tunai RM2,000 kepada pemenang, selain pas masuk setahun, pakej cenderamata eksklusif dan set maskot terpilih.
“Pertandingan ini adalah peluang untuk rakyat Malaysia mencipta ikon seterusnya yang boleh diiktiraf di dalam dan luar negara,” katanya.
Khairil Faizal berkata, maskot yang dipilih bakal menjadi identiti rasmi Menara KL selain diabadikan sebagai koleksi cenderamata eksklusif.
Pertandingan dibuka kepada semua rakyat Malaysia dengan peserta dikehendaki menghantar satu rekaan lengkap beserta cerita ringkas mengenai watak tersebut termasuk nama pereka, personaliti dan peranan maskot dalam dunia Kay Elle.
Penyertaan boleh dihantar melalui borang Google di https://forms.gle/UCLrwow1zqDjiTMZ6, manakala maklumat lanjut boleh diperoleh di laman rasmi www.kltower.com atau talian +603-2630 3033.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







