Menara KL akan dibuka semula setelah kerja penyelengaraan siap – Fahmi
KUALA LUMPUR – Menara Kuala Lumpur (Menara KL) akan dibuka semula kepada orang ramai apabila kerja penyelenggaraan oleh syarikat pemegang konsesi baharu disiapkan.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, hasil pemantauan terkini mendapati keadaan Menara KL amat tidak memuaskan.
“Hasil lawatan pasukan komunikasi ke Menara KL, kita dapati selain berdasarkan gambar dan video hasil pengamatan pasukan, banyak daripada sama ada perkakas di dapur dan di menara berputar, yang ada restoran dulu, tidak berada dalam keadaan yang nyaman atau selesa untuk pengunjung.
“Malah kita lihat ada ‘railling’ yang berada di ‘deck’ yang sudah diturunkan. Ini saya rasa merisaukan. Jadi, demi keselamatan pengunjung, maka syarikat baru perlu segera melaksana penyelenggaraan termasuk (menilai) aspek keselamatan,” katanya dalam sidang akhbar mingguan di Angkasapuri, di sini hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan juga sudah memasuki premis Menara KL tengah malam tadi beserta notis awal penutupan, untuk memberi ruang kepada konsesi baru melakukan kerja-kerja persiapan sebelum dibenar dibuka semula.
“Penting untuk kita sebut Menara KL adalah sepenuhnya hal milik kerajaan yang diurus operasinya oleh Kementerian Komunikasi.
“Sejak 1 April lalu, syarikat lama sudah tamat operasi dan syarikat baru mula (ambil alih) 1 April.
“Atas sebab yang disebut dalam media, syarikat lama enggan keluar, maka Pesuruhjaya Tanah Persekutuan sudah meneliti isu ini,” katanya lagi.
Mengenai nasib pekerja Menara KL, Fahmi berkata seramai 192 daripada 205 pekerja syarikat lama sudah diserap masuk ke dalam syarikat pemegang konsesi baharu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








