
Menara KL milik kerajaan, hanya ubah pengurusan – Kementerian Komunikasi
PUTRAJAYA – Menara Kuala Lumpur (Menara KL) adalah milik kerajaan serta pengambilalihan konsesi hanya melibatkan perubahan pengurusan dan operasi yang telah dilaksanakan melalui notis pelawaan cadangan (RFP) iaitu bagi projek kerjasama awam swasta (PPP).
Kementerian Komunikasi dalam satu kenyataan hari ini menegaskan bahawa projek kerjasama awam swasta itu adalah selaras dengan keputusan Jemaah Menteri sebelum ini.
“Bagi maksud tersebut, Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS, JPM) telah melaksanakan proses RFP dan seterusnya Jemaah Menteri telah memperakukan pembida berjaya berdasarkan penilaian ke atas RFP tersebut,”
“Pembida berjaya ini telah diumumkan oleh pihak Kerajaan pada 29 Mei 2024,” katanya dalam kenyataan tersebut.
Menurut kenyataan itu lagi, pihak kementerian mengambil maklum akan writ saman dan permohonan injunksi yang telah difailkan oleh Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) lanjutan daripada
pelantikan syarikat konsesi baharu ini.
Oleh itu, katanya, pihak Kerajaan melalui Kementerian Komunikasi akan memastikan bahawa apa-apa tindakan yang akan diambil kelak adalah
selaras dengan proses undang-undang.
“Sehubungan dengan itu, pihak kementerian
memohon agar semua pihak dapat memberikan ruang kepada proses perundangan ini berjalan dengan lancar.
“Semua pihak yang terlibat termasuk orang ramai dinasihatkan agar tidak mengeluarkan sebarang kenyataan atau tindakan yang boleh mengganggu proses perundangan yang sedang berjalan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi kekal komited terhadap tatakelola yang baik dan akan memastikan perkara ini ditangani dengan sewajarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








