BERITA SEMASADALAM NEGERI

Cabaran Ngail Nismilan 2025 meriah, lonjak pelancongan rekreasi Tasik Seremban

SEREMBAN – Tasik Seremban kembali meriah apabila lebih 1,000 kaki pancing dari seluruh negara membanjiri kawasan itu bagi menyertai Cabaran Ngail Nismilan 2025.

Sambutan baik itu menjadikan pertandingan tersebut antara acara pelancongan rekreasi paling dinanti dalam kalendar tahunan Negeri Sembilan.

Pertandingan anjuran Majlis Bandaraya Seremban (MBS) dengan kerjasama NS Events serta sokongan penuh Tourism Malaysia itu juga dilihat sebagai inisiatif awal dalam memperkasa sambutan Tahun Melawat Malaysia 2026 dan Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

Lebih manis, acara tersebut turut menawarkan hadiah wang tunai menarik serta cabutan bertuah berupa kepingan emas, sekali gus berjaya menarik peserta dari pelbagai negeri termasuk Johor, Melaka, Selangor dan Kuala Lumpur.

Datuk Bandar Seremban, Datuk Masri Razali berkata, sambutan memberangsangkan itu membuktikan daya tarikan aktiviti memancing dalam mendekatkan pelancong kepada keindahan tasik semula jadi dan keharmonian kehidupan luar bandar.

“Kami pada awalnya menjangka sekitar 700 penyertaan sahaja namun jumlah yang hadir melebihi 1,000 orang menunjukkan minat rakyat yang tinggi terhadap aktiviti riadah seperti memancing, apatah lagi di lokasi strategik dan cantik seperti Tasik Seremban,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan MBS bercadang memperluaskan program berkenaan menerusi penganjuran GP Joran Nismilan, satu siri pertandingan memancing yang akan dilangsungkan di pelbagai tasik rekreasi dan lokasi berpotensi lain di seluruh Negeri Sembilan menjelang Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026.

“GP Joran Nismilan ini akan menjadi antara pengisian utama dalam kalendar pelancongan negeri,” ujarnya.

Dalam pada itu, suasana acara bertambah gamat apabila salah seorang peserta berjaya menaikkan ikan spesies Mekong seberat lebih 40 kilogram.

Namun, tangkapan tersebut dibatalkan atas faktor teknikal mengikut peraturan pertandingan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun yang turut menyampaikan hadiah utama serta menyerahkan kepingan emas kepada dua peserta bertuah menerusi cabutan bertuah.

Terletak di tengah-tengah bandar Seremban dan berhampiran mercu warisan seperti Wisma Negeri dan Jalan Yam Tuan, Tasik Seremban kini dilihat memiliki potensi besar untuk dimajukan sebagai lokasi ikonik pelancongan berasaskan alam semula jadi dan riadah keluarga.

Masri berkta, dengan pendekatan berteraskan komuniti, budaya dan kelestarian alam, Negeri Sembilan kini berada di landasan tepat untuk muncul sebagai antara destinasi pelancongan pilihan utama menjelang 2026.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button