POLITIK

UMNO Negeri Sembilan kekal sokong kerajaan perpaduan, namun hilang kepercayaan terhadap MB

SEREMBAN – UMNO Negeri Sembilan menegaskan komitmen mereka untuk terus mendokong Kerajaan Perpaduan di peringkat negeri, meskipun secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap kepimpinan Menteri Besar ketika ini.

Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Mustapha Nagoor berkata, semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional akan tetap menjalankan tanggungjawab mereka seperti biasa bagi memastikan fokus terhadap khidmat bakti dan kebajikan rakyat tidak terjejas.

“UMNO Negeri Sembilan menghormati keputusan pucuk pimpinan untuk kita mengekalkan kerjasama bersama Kerajaan Perpaduan di Negeri Sembilan.

“Semua ADUN UMNO Barisan Nasional juga akan menjalankan tanggungjawab seperti biasa, malah terus memberi fokus kepada rakyat,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mustapha menjelaskan bahawa tindakan itu diambil ekoran kegagalan pihak pentadbiran menguruskan krisis kepimpinan yang disifatkan sebagai antara yang terburuk dalam sejarah negeri, sehingga menggugat keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan.

“Kami kekal hilang kepercayaan kepada Menteri Besar di atas kegagalan menguruskan krisis terburuk yang pernah berlaku di negeri ini sehingga menjejaskan keyakinan rakyat terhadap Institusi Adat dan Undang-Undang Tubuh Negeri Sembilan,” tegasnya.

Beliau turut menekankan kepentingan agar krisis kepimpinan adat yang melanda ketika ini diselesaikan segera secara harmoni mengikut lunas Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 dan mengikut tatacara adat yang sebenar.

Dalam pada itu, UMNO Negeri Sembilan turut menyeru rakyat agar bertenang dan menghormati proses yang sedang berjalan serta mengelak daripada mengeluarkan sebarang kenyataan provokatif yang boleh menghina institusi adat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button