Krisis politik NS berpunca daripada ‘pengkhianatan sahabat’
JOHOR BAHRU – Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyifatkan krisis politik yang melanda Negeri Sembilan baru-baru ini berpunca daripada ‘pengkhianatan sahabat’ sendiri.
Beliau berkata, walaupun kemelut tersebut berjaya diselesaikan, kesannya masih meninggalkan parut dalam pentadbiran gabungan di negeri itu.
“Kami di Negeri Sembilan ada kapal besar. Kapal yang kita bina cukup hebat, besar dan kukuh. Perjalanan jauh telah kita lalui bersama.
“Kita sebagai nakhoda, mereka tunjuk kesetiaan ketika berada di dalam kapal, tiba-tiba mereka rasa tidak selesa lalu menebuk kapal dari dalam,” katanya ketika berucap pada Konvensyen PH 2026 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, di sini hari ini.
Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, tindakan tersebut menyebabkan ‘air masuk’ ke dalam kapal dan memberi kesan besar terhadap kestabilan politik negeri berkenaan.
Beliau menambah, walaupun kerosakan itu berjaya diperbaiki, kesan kebocoran tetap menjadi simbol kepada pengkhianatan yang pernah berlaku dalam gabungan berkenaan.
“Apabila ditebuk, jadikan satu kesan. Walaupun mampu tampal, tetapi tetap ada tanda kebocoran. Itulah tanda ada pengkhianatan sebelum ini.
“Kadang-kadang kita tidak nampak tanda-tanda atau rasa tidak puas hati, tetapi akhirnya perkara itu berlaku juga,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan situasi politik di Negeri Sembilan membuktikan tumpuan Pilihan Raya Negeri (PRN) bukan hanya terarah kepada Johor dan Melaka, malah negeri itu juga perlu diberi perhatian serius.
Menurutnya, Konvensyen PH 2026 menjadi bukti bahawa gabungan tersebut kini semakin bersatu dan bersedia menghadapi pilihan raya pada bila-bila masa.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








