BERITA SEMASA

Negeri Sembilan lancar MANES, perkasa rakyat menerusi lima inisiatif

SEREMBAN – Kerajaan negeri memperkenalkan Masyarakat Negeri Sembilan (MANES) sebagai pendekatan baharu untuk mendekati, mendengar, membantu dan memperkasa rakyat menerusi ekosistem sokongan yang lebih menyeluruh serta inklusif.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Sembilan, Siti Nur Umaira Datuk Hasim berkata, MANES memberi penekanan terhadap pembangunan wanita, kanak-kanak dan keluarga menerusi pelbagai inisiatif yang lebih dekat dengan keperluan masyarakat.

manes
Ismail dan Siti Nur Umaira pada majlis pelancaran MANES di Seremban pagi tadi.

Menurutnya, MANES diterjemahkan melalui lima inisiatif utama iaitu MANES@Suara Kita, Kembara Kasih MANES, MANES Prihatin, MANES Emosi dan MANES DUIT Je!

“MANES@Suara Kita membawa perkhidmatan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) lebih dekat melalui penempatan pegawai di setiap DUN, manakala Kembara Kasih MANES pula membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat serta mengenal pasti keperluan mereka.

“MANES Prihatin menggunakan pendekatan door to door, MANES Emosi memberi fokus kepada kesejahteraan emosi dan mental keluarga, manakala MANES@DUIT Je! memberi tumpuan kepada pembangunan usahawan serta peluang menjana pendapatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Majlis pelancaran tersebut dirasmikan oleh Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim di kediaman rasmi beliau di sini, pagi tadi. Turut hadir barisan EXCO Kerajaan Negeri Sembilan.

Siti Nur Umaira berkata, pelaksanaan MANES mencerminkan komitmen kerajaan negeri untuk memastikan rakyat bukan sahaja menerima bantuan, malah diberikan ruang serta sokongan bagi membina kehidupan yang lebih berdikari.

“Bagi kita, tiada rakyat yang terlalu jauh untuk disantuni. MANES mahu dekat dengan rakyat, memahami keperluan mereka dan memastikan tiada siapa yang tertinggal dalam arus pembangunan Negeri Sembilan,” katanya.

manes
Kembara Kasih MANES membawa pendekatan turun padang untuk bertemu masyarakat serta mengenal pasti keperluan mereka.

Dalam pada itu, beliau berkata, sebanyak RM532,704 bantuan disalurkan hari ini bagi menyokong usaha kebajikan masyarakat.

Daripada jumlah itu, RM339,000 diperuntukkan menerusi Subsidi Yuran Pembelajaran Autisme kepada 26 pusat pembelajaran autisme, manakala RM193,704 disalurkan sebagai Bantuan Kewangan Kerajaan kepada tiga Pertubuhan Sukarela Kebajikan (PSK).

Menurutnya, bantuan berkenaan membuktikan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam menyokong kanak-kanak yang memerlukan pendidikan serta organisasi yang menyediakan perkhidmatan kebajikan kepada masyarakat.

“Apabila wanita diperkasa, keluarga menjadi lebih kuat. Apabila keluarga kuat, masyarakat akan lebih sejahtera. Itulah asas MANES iaitu kerajaan yang mendengar, turun padang, prihatin dan memperkasa rakyat,” katanya.

MANES membawa slogan ‘Dengar. Dekat. Prihatin.’ sebagai pendekatan baharu kerajaan negeri dalam memperkukuh kesejahteraan masyarakat Negeri Sembilan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button