LUAR NEGARA

Netanyahu menang pilihan raya Israel, gagal raih majoriti

BAITULMAQDIS – Gabungan pimpinan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mendahului keputusan pilihan raya umum negara itu dengan memenangi 53 daripada 120 kerusi Parlimen (Knesset) namun masih gagal mencapai majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

Keputusan pengiraan keseluruhan undi yang diumumkan pada Khamis menyaksikan blok pembangkang pimpinan Gadi Eisenkot memperoleh 48 kerusi, manakala parti-parti Arab mencatat peningkatan ketara dengan menguasai 19 kerusi.

Parti Likud pimpinan Netanyahu muncul sebagai parti tunggal terbesar dengan 27 kerusi, diikuti parti Yashar pimpinan Eisenkot yang memperoleh 21 kerusi.

Bagaimanapun, kedua-dua blok utama masih kekurangan sokongan untuk mencapai 61 kerusi yang diperlukan bagi membentuk kerajaan majoriti.

Keputusan itu membuka ruang kepada rundingan politik bagi membentuk gabungan baharu, dengan parti-parti Arab berpotensi memainkan peranan penting dalam menentukan hala tuju pembentukan kerajaan.

Sementara itu, Eisenkot dilapor mengadakan pertemuan dengan beberapa pemimpin pembangkang, termasuk bekas Perdana Menteri, Naftali Bennett, bagi membincangkan kemungkinan membentuk kerajaan baharu.

Pilihan raya pada Selasa lalu itu merupakan ujian politik penting buat Netanyahu selepas terpalit sentimen kebencian rakyatnya sendiri susulan perang berterusan di Gaza.

Keputusan berkenaan juga menyaksikan blok Netanyahu kehilangan kedudukan majoriti yang sebelum ini dimilikinya dalam Knesset, sekali gus meningkatkan ketidaktentuan politik Israel.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button