Pemandu BYD Seal tinggalkan lokasi nahas maut kanak-kanak berjaya dikesan polis
KUALA LUMPUR – Pemandu BYD Seal yang meninggalkan lokasi kemalangan selepas terbabit dalam nahas melibatkan enam kenderaan sehingga mengorbankan seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di Jalan Kuching, Sabtu lalu, berjaya dikesan polis.
Lelaki berusia 24 tahun itu bagaimanapun kini dirawat di sebuah hospital swasta di Damansara akibat mengalami gegaran otak dan masih dalam pemantauan pegawai penyiasat untuk siasatan lanjut.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, kemalangan kira-kira pukul 3.44 petang itu membabitkan lima kereta dan sebuah motosikal dari arah Pusat Bandar menghala ke Segambut.
Menurutnya, siasatan awal mendapati BYD Seal dipandu lelaki berkenaan merempuh belakang sebuah Perodua Bezza yang dinaiki seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun bersama bapanya.
“Perodua Bezza itu kemudian berpusing ke lorong kanan sebelum merempuh tiga kenderaan lain iaitu Nissan Almera, Toyota Alphard dan Perodua Myvi.
“Kanak-kanak perempuan yang berada di tempat duduk penumpang belakang Perodua Bezza meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat kecederaan parah di kepala,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pemandu Perodua Bezza berusia 30 tahun mengalami luka di tangan kanan, manakala penunggang motosikal Yamaha 135LC berusia 33 tahun cedera di kepala. Kedua-duanya turut menerima rawatan di HKL.
Sementara itu, pemandu Nissan Almera berusia 28 tahun, Toyota Alphard berusia 37 tahun dan Perodua Myvi berusia 30 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu secara melulu atau membahayakan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian diminta menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee menerusi talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








