PISA 2025: Malaysia setanding Singapura dari aspek ekuiti pendidikan
PUTRAJAYA – Malaysia mencatat pencapaian membanggakan dari segi kesamarataan peluang pendidikan antara sekolah menerusi Program Penilaian Pelajar Antarabangsa (PISA) 2025, malah setanding secara positif dengan negara berprestasi tinggi seperti Singapura.
Pengarah Pendidikan dan Kemahiran Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), Dr Andreas Schleicher berkata, hanya kira-kira 17 peratus variasi prestasi murid di Malaysia berlaku antara sekolah, jauh lebih rendah berbanding purata antarabangsa.
Menurutnya, keadaan itu menunjukkan sekolah yang dihadiri seseorang murid bukan faktor utama yang menentukan prestasi mereka, sekali gus menggambarkan tahap ekuiti yang tinggi dalam sistem pendidikan negara.
“Malaysia telah melangkah lebih jauh berbanding kebanyakan negara dalam memutuskan rantaian tersebut.
“Dari sudut ekuiti pendidikan, Malaysia setanding secara positif dengan negara berprestasi tinggi seperti Singapura,” katanya menerusi rakaman video sempena pengumuman keputusan PISA 2025 di Kementerian Pendidikan hari ini.
Andreas berkata, di kebanyakan sistem pendidikan, ibu bapa sanggup menghabiskan masa, tenaga dan wang bagi memastikan anak mereka mendapat tempat di sekolah yang dianggap terbaik.
Bagaimanapun, katanya, jurang antara sekolah yang melayani komuniti berpendapatan tinggi dengan sekolah di kawasan kurang berkemampuan di Malaysia adalah lebih kecil berbanding banyak negara lain.
“Di Malaysia, sekolah yang paling hampir dengan tempat tinggal selalunya merupakan sekolah yang terbaik,” katanya.
Beliau berkata, pencapaian itu penting kerana kecemerlangan dan ekuiti tidak seharusnya dilihat sebagai dua matlamat yang saling bercanggah dalam sistem pendidikan.
Sebaliknya, sistem pendidikan yang berjaya perlu meningkatkan pencapaian akademik pada tahap tertinggi sambil memastikan asas pendidikan yang kukuh dapat dinikmati semua murid.
Selain aspek ekuiti, Andreas berkata keputusan PISA 2025 turut menunjukkan beberapa kekuatan dalam kalangan murid Malaysia, termasuk rasa ingin tahu yang tinggi, ketabahan serta keupayaan mengurus pembelajaran secara kendiri.
Katanya, murid Malaysia berusia 15 tahun menunjukkan prestasi lebih baik berbanding kebanyakan negara peserta dalam aspek berkenaan.
“Dalam dunia yang sedang mereka tempuhi, ilmu pengetahuan akan terus menjadi penting, tetapi keupayaan untuk terus belajar dan berkembang akan menjadi jauh lebih penting.
“Tiada teknologi yang mampu menggantikan rasa ingin tahu dan tiada algoritma yang boleh memberikan ketabahan kepada seseorang anak muda,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut memberi pengiktirafan kepada guru di Malaysia yang menurutnya menerima tahap kepercayaan dan sokongan tinggi daripada murid.
Menurut Andreas, guru bukan sekadar menyampaikan ilmu pengetahuan, sebaliknya berperanan sebagai jurulatih, mentor, fasilitator dan pembina persekitaran pembelajaran yang kondusif.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan Malaysia masih berdepan cabaran untuk meningkatkan pencapaian Matematik, khususnya dengan mengalihkan fokus daripada hafalan dan penguasaan kandungan kepada kemahiran penaakulan, pemodelan serta penyelesaian masalah.
Menurutnya, Malaysia mempunyai asas kukuh untuk mempertingkat penguasaan Matematik kerana murid negara ini menunjukkan prestasi penyelesaian masalah komputasional yang jauh lebih baik daripada jangkaan berdasarkan pencapaian Matematik mereka.
“Malah, kelebihan relatif ini lebih kukuh di Malaysia berbanding mana-mana negara lain yang mengambil bahagian dalam PISA,” katanya.
Dalam domain Bacaan pula, Andreas berkata Malaysia menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila berjaya mengekalkan prestasi ketika banyak negara lain mengalami kemerosotan ketara.

Namun, beliau mengingatkan perubahan tabiat membaca generasi muda dalam persekitaran digital perlu diberi perhatian supaya kemahiran membaca secara mendalam tidak terhakis.
Secara keseluruhannya, Andreas berpandangan Malaysia tidak perlu membina semula sistem pendidikannya dari awal, sebaliknya memperkukuh kekuatan yang sedia ada.
“Malaysia mempunyai generasi muda yang ingin tahu dan cekal, pengagihan peluang pendidikan yang adil antara sekolah, guru yang menyokong, murid dengan kekuatan luar biasa dalam pemikiran komputasional serta keupayaan mengekalkan tahap bacaan ketika banyak negara lain mengalami kemerosotan.
“Aset berharga ini perlu dihubungkan dengan ilmu yang lebih mendalam, pemikiran komputasional dengan Matematik, teknologi dengan pembelajaran yang bermakna, sekolah dengan keluarga serta kecemerlangan dengan ekuiti,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








