BERITA SEMASA

Guru, murid digalakkan pakai pelitup muka di sekolah

TAIPING – Semua guru dan murid digalakkan memakai pelitup muka dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 ketika berada di sekolah sebagai langkah pencegahan jangkitan penyakit itu.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kementerian sudah memaklumkan pematuhan SOP seperti yang ditetapkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tersebut kepada semua sekolah di seluruh negara pada April lalu.

“Dua perkara yang kementerian tegaskan ialah menggalakkan pemakaian pelitup muka kepada semua warga sekolah iaitu pendidik dan pelajar serta mematuhi SOP Covid-19 yang sudah dikeluarkan.

“Keduanya ialah melakukan ujian kendiri di rumah sekiranya bergejala dan sekiranya hasil ujian itu negatif, boleh datang ke sekolah untuk meneruskan pembelajaran.

“SOP Covid-19 yang dibincangkan pada April lalu masih diguna pakai sehingga kini dan jika berlaku perubahan, ia akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” kata Kang Woh, malam tadi.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Program Semarak Taiping 150 di Dataran Warisan Taiping di sini semalam yang dihadiri kira-kira 10,000 orang.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Taiping turut memaklumkan bahawa kelonggaran tidak memakai pakaian seragam sekolah juga masih lagi diteruskan.

Beliau seterusnya menambah, sekiranya berlaku penularan Covid-19 yang serius, kementeriannya akan segera mendapatkan nasihat daripada KKM berkenaan langkah dan tindakan selanjutnya.

“Covid-19 ini berubah dari masa ke semasa dan kini masuk ke tahap endemik.

“Kementerian akan sentiasa membuat pemantauan Covid-19 terutamanya ketika sesi persekolahan akan dibuka pada Selasa ini,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button