Hubungan UK-Israel semakin tegang, Tel Aviv arah konsulat Britain ditutup
LONDON – Hubungan antara Britain dan Israel semakin tegang selepas London mengenakan sekatan perdagangan terhadap penempatan Israel di Tebing Barat, sebelum Tel Aviv bertindak balas dengan mengarahkan penutupan Konsulat Britain di Baitulmaqdis Timur.
Israel pada Rabu memberi tempoh 30 hari kepada Britain untuk menutup konsulat berkenaan, selain menarik balik akreditasi diplomat Britain yang bertugas di situ.
Tindakan itu susulan keputusan Britain, Perancis dan Kanada untuk menyekat kemasukan barangan yang dihasilkan di penempatan Israel di Tebing Barat yang dijarah.
Langkah berkenaan antara tindakan paling tegas diambil sekutu Barat Israel berhubung isu penempatan, sekali gus mencerminkan kemerosotan hubungan diplomatik antara Israel dengan beberapa negara yang sebelum ini dianggap sekutu rapatnya.
Menteri Luar Britain, Ed Miliband berkata, London tidak lagi mahu sekadar mengecam perkembangan di Tebing Barat tanpa mengambil tindakan, khususnya berhubung perluasan penempatan dan keganasan peneroka terhadap rakyat Palestin.
Britain turut mengenakan sekatan terhadap individu serta syarikat yang terlibat dalam pembangunan dan pengembangan penempatan, termasuk sektor pembinaan, infrastruktur, pembiayaan dan hartanah.
Miliband berkata, tindakan itu bertujuan mempertahankan peluang mewujudkan penyelesaian dua negara selain menangani apa yang disifatkan sebagai keganasan peneroka dan ancaman terhadap masyarakat Palestin di Tebing Barat.
Perkembangan tersebut turut mendapat sokongan Perancis, Kanada dan beberapa negara Eropah lain yang bersetuju mengambil atau mempertimbangkan langkah sama terhadap barangan daripada penempatan Israel.
Namun, langkah Britain itu tidak bermakna London memutuskan keseluruhan hubungan perdagangan dengan Israel.
Sekatan berkenaan secara khusus menyasarkan barangan dan aktiviti yang berkaitan dengan penempatan Israel di Tebing Barat.
Sebagai tindak balas, Menteri Luar Israel, Gideon Saar menyifatkan tindakan Britain sebagai campur tangan dalam urusan negara berdaulat dan mengumumkan beberapa langkah balas.
Selain mengarahkan penutupan konsulat Britain di Baitulmaqdis Timur, Israel turut melarang 12 ahli politik dan tokoh Britain memasuki negara itu, termasuk bekas pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn.
Israel turut menghentikan penglibatan Britain dalam misi penyelarasan Gaza yang diketuai Amerika Syarikat (AS) serta menamatkan peranan Britain dalam melatih pasukan keselamatan Palestin di Tebing Barat.
Diplomat Britain yang ditempatkan di Ramallah dan pegawai yang terlibat dalam misi penyelarasan Gaza turut diarahkan meninggalkan Israel dalam tempoh tujuh hari, menurut laporan yang dipetik agensi berita antarabangsa.
Bagaimanapun, Miliband menegaskan hubungan keselamatan dan risikan antara Britain dan Israel masih penting dan dijangka diteruskan.
Beliau berkata, London masih mahu bekerjasama dengan Israel berhubung ancaman yang dihadapi negara itu, termasuk berkaitan Iran, walaupun hubungan politik kedua-dua negara semakin renggang.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








