BERITA SEMASALUAR NEGARA

Lebih 2,000 hektar tanah Israel hangus

BAITULMAQDIS – Tentera Udara Israel (IAF) terpaksa dikerahkan bagi membantu pasukan bomba negara haram itu bagi memadam kebakaran hutan besar yang telah memusnahkan lebih 2,000 hektar kawasan sejak semalam.

Pihak Berkuasa Bomba dan Penyelamat Israel berkata, operasi memadam kebakaran membabitkan 155 pasukan itu masih diteruskan, meskipun keadaan cuaca dan usaha berjaya menstabilkan keadaan.

“Seramai 12 orang awam dan 17 anggota bomba telah dimasukkan ke hospital, sementara ribuan penduduk di kawasan perbukitan Judea telah diarahkan berpindah.

“Pesawat Hercules C-130J Super Hercules atau dikenali sebagai Samson oleh Israel turut digunakan dalam operasi itu, ” katanya memetik laporan National Post.

Menurut Pasukan Pertahanan Israel (IDF), pesawat itu telah melakukan puluhan penerbangan bagi menjatuhkan kira-kira 15,000 liter air atau bahan kimia pemadam api dalam setiap misi.

Kementerian Luar Israel dalam satu kenyataan turut memaklumkan pihaknya telah meminta bantuan daripada beberapa negara termasuk Greece, Cyprus, Croatia, Itali dan Bulgaria.

Sejumlah negara seperti Sepanyol, Perancis, Romania, Ukraine dan Croatia telah bersetuju menghantar pesawat bantuan manakala Greece dan Cyprus dilaporkan telah menolak permohonan berkenaan.

Dalam perkembangan berkaitan, tiga suspek telah ditahan, termasuk seorang lelaki berusia 50-an dari Umm Tuba, sebuah kawasan Arab di Baitulmaqdis, selepas dilaporkan cuba membakar semak.

Agensi keselamatan Shin Bet sedang menyiasat kemungkinan unsur sabotaj, memandangkan kebakaran bermula menjelang Hari Memorial Israel yang bertepatan dengan sambutan Hari Kemerdekaan.

Ketua Jabatan Bomba Baitulmaqdis, Shmulik Friedman memaklumkan setakat ini, punca kebakaran belum dikenal pasti.

“Kami belum tahu apa punca kebakaran ini, siasatan masih berjalan,” katanya lagi.

Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dalam satu kenyataan menyifatkan kebakaran itu sebagai darurat nasional.

“Gelombang kebakaran ini bukan sekadar ancaman kepada nyawa dan kediaman, tetapi juga kepada Baitulmaqdis. Saya telah arahkan semua aset digunakan sepenuhnya,” katanya.

Susulan itu, Menteri Pengangkutan Miri Regev mengumumkan pembatalan acara menyalakan obor tahunan di Gunung Herzl atas faktor keselamatan, manakala beberapa bandar utama termasuk Tel Aviv dan Haifa turut membatalkan sambutan yang melibatkan penyertaan pasukan bomba.

Pihak berkuasa turut mengisytiharkan tahap kecemasan tertinggi “Red Torch” bagi membolehkan pasukan simpanan bomba digerakkan serta merta, termasuk sokongan udara dan logistik tambahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button