Hari Malaysia: AMFF 2026 tampil lebih besar, perkasa lebih 80 vendor tempatan
KUALA LUMPUR – Penganjuran Anjung Malaysiaku Foodie Fiesta (AMFF) 2026 dijangka memberi limpahan ekonomi kepada peniaga tempatan dan pemain industri pelancongan menerusi peningkatan kehadiran pelawat domestik serta antarabangsa sepanjang festival itu berlangsung.
Penganjur merangkap Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd. (Raydiates), Rayme Zainal berkata, penganjuran selama enam hari itu turut menghimpunkan pelbagai aktiviti berteraskan gastronomi, seni dan budaya, muzik, kecantikan, gaya hidup, kecergasan serta program komuniti.
“Festival ini turut mendapat kerjasama beberapa rakan strategik termasuk SimplySiti, Anytime Fitness dan SimplyFit Zumba Malaysia Day yang akan memperkukuhkan elemen kecantikan, kesihatan dan kecergasan.
“Antara tarikan utama ialah penganjuran Malam Kita Malaysia pada 15 September yang menampilkan mini konsert khas bersempena Ambang Hari Malaysia, menggabungkan elemen muzik, seni dan budaya dalam satu persembahan.
“Sambutan Hari Malaysia pada 16 September pula akan diteruskan menerusi program SimplyFit Zumba Malaysia Day bersama pelbagai aktiviti kecergasan, keluarga dan komuniti,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media AMFF 2026 X Festival Budaya Malaysia di Hotel Seri Pacific di sini semalam.

AMFF 2026 akan kembali untuk edisi kedua dengan skala lebih besar menerusi Festival Budaya Malaysia 2026 yang berlangsung dari 11 hingga 16 September ini di Taman Tasik Titiwangsa bersempena sambutan Hari Malaysia.
Baca juga :
Bertemakan ‘Kita Malaysia: Seni, Budaya & Citarasa’, festival anjuran Raydiates dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) itu mengekalkan makanan sebagai tunjang utama, namun diperluaskan kepada pengalaman gaya hidup moden yang lebih interaktif di Festival Budaya Malaysia.
Tahun lalu, AMFF 2025 berlangsung di pekarangan parkir Stadium Nasional Bukit Jalil dengan kehadiran lebih 10,000 pengunjung selain kemunculan khas Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza di acara Fun Run dan podcast.
Rayme berkata, lebih 80 vendor daripada pelbagai segmen perniagaan bakal memeriahkan AMFF 2026 sebagai usaha menjadikan festival itu sebagai platform yang menghubungkan makanan dengan budaya dan gaya hidup rakyat Malaysia.
Menurutnya, festival berkenaan bukan sekadar menyediakan lot niaga kepada pengunjung, sebaliknya bertujuan menghidupkan budaya menerusi pengalaman yang lebih dekat dengan masyarakat.
“Tahun ini kami mahu membawa pengalaman itu lebih jauh di mana makanan, seni, muzik, gaya hidup dan komuniti menjadi satu identiti bersama dengan semangat ‘Kita Malaysia’ sempena Festival Budaya Malaysia dan Hari Malaysia,” katanya.
Sementara itu, selepas Taman Tasik Titiwangsa, kemeriahan AMFF 2026 akan diteruskan ke MAEPS, Serdang dari 9 hingga 11 Oktober 2026 sempena MySihat Expo 2026.
Edisi di MAEPS turut memberi tumpuan kepada gabungan gastronomi, kesihatan, kesejahteraan, kecergasan, gaya hidup dan hiburan melalui kerjasama dengan beberapa rakan strategik termasuk Moonman Event bagi HUNTR Games Kuala Lumpur 2026 serta Event Lab di bawah Malaysia Strategic Development Institute (MSDI) menerusi FRAGMANIA.
Kerjasama strategik itu dijangka mewujudkan ekosistem yang menghimpunkan kira-kira 600 vendor merangkumi sektor makanan, kesihatan dan kesejahteraan, sukan, kecergasan, hiburan serta komuniti dalam satu destinasi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








