
Sultan Selangor tidak berkenan nama UPM ditukar
SERDANG – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, tidak berkenan untuk menukar nama Universiti Putra Malaysia (UPM) kepada Universiti Pertanian Malaysia.
Baginda bertitah, cadangan tersebut tidak dirujuk kepada baginda selaku Canselor UPM dan juga kepada Lembaga Pentadbir universiti.
“Baru-baru ini beta telah membaca satu kenyataan daripada seorang Menteri, Mohamad Sabu yang mencadangkan untuk menukarkan semula nama Universiti Putra Malaysia kepada Universiti Pertanian Malaysia.
“Di sini beta menegaskan bahawa nama Universiti Putra Malaysia ini hendaklah dikekalkan kerana beta telahpun melancarkan jenama Putra yang membawa maksud ‘Pertanian Untuk Rakyat’,” titah baginda ketika berkenan hadir menyempurnakan Majlis Konvokesyen UPM Ke-48 (Sidang 2) Tahun 2024 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (PKKSSAAS), UPM, di sini hari ini.
Baginda kemudian turut mengingatkan pihak tertentu supaya memahami dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat sebarang kenyataan.
“Beta ingin mengingatkan kepada mereka yang tidak memahami sejarah agar membaca dan meneliti fakta sejarah sebelum membuat apa-apa kenyataan terutama yang melibatkan Universiti Putra Malaysia,” titah baginda lagi.
Untuk rekod, UPM dahulunya dikenal sebagai ‘Universiti Pertanian Malaysia’ namun kepada ‘Universiti Putra Malaysia’ pada 3 April 1997 bagi menggambarkan statusnya sebagai institusi pendidikan tinggi (IPT) yang bukan sahaja menawarkan program pengajian dalam bidang pertanian tetapi termasuk pelbagai bidang lain terutamanya sains dan teknologi maklumat.
Laporan media sebelum ini menyebut, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, menyatakan hasrat untuk membawa cadangan penukaran nama UPM ke Mesyuarat Kabinet.
Cadangan itu dibuat setelah mengambil kira keutamaan negara terhadap keterjaminan makanan dan pembangunan sektor pertanian.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





