Sultan Sharafuddin tidak berkenan penternakan babi dijalankan di Selangor
SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah tidak berkenan penternakan babi berskala besar atau kecil dijalankan di mana-mana daerah di negeri ini, susulan kebimbangan terhadap pencemaran alam sekitar, sumber air dan keresahan penduduk tempatan.
Perkara itu dimaklumkan oleh Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani, susulan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 23 Januari lalu supaya Kerajaan Selangor membatalkan projek ternakan babi berskala besar di Bukit Tagar, Hulu Selangor.
Menurut Mohamad Munir, baginda turut menyambut baik ucapan Perdana Menteri yang tidak bersetuju penternakan babi dibuat di kawasan dibantah penduduk tempatan, yang boleh menimbulkan kontroversi.
“Sebagai contoh, cadangan penternakan babi di Bukit Tagar di daerah Hulu Selangor yang juga kawasan pendudukan orang Melayu dan kawasan FELDA, pastinya menerima bantahan daripada penduduk Melayu di kawasan tersebut dan persekitarannya.
“Ia juga boleh mengakibatkan pencemaran kepada kawasan tadahan air dan juga sungai yang membekalkan sumber air bersih kepada penduduk di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya,” menurut kenyataan itu.
Baca juga : Bau busuk menyengat, pencemaran najis babi: PAS desak ladang babi Tanjung Sepat ditutup segera
Mohamad Munir berkata, walaupun pencemaran udara dan sungai boleh diatasi dengan kaedah penternakan moden, ia memerlukan perbelanjaan besar dan tidak mungkin mampu dibiayai mana-mana pihak yang menternak hanya untuk bekalan daging babi di negeri ini.
“Tiada jaminan bahawa penternakan moden tidak akan menyebabkan pencemaran air di kawasan tadahan air serta sungai yang menjadi punca air bersih kepada penduduk di Lembah Klang.
“Selain itu, penternakan babi berskala besar atau kecil juga tidak sesuai dilaksanakan di Selangor kerana sumber tanah terhad.
“Ini ditambah pula dengan faktor nilai hartanah tinggi yang sewajarnya digunakan untuk tujuan yang lebih ekonomi dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat,” katanya.
Justeru itu, Mohamad Munir berkata, baginda menyarankan agar pihak kerajaan dapat memberi lesen untuk pengimportan daging babi bagi menampung permintaan dan keperluan orang bukan Islam, khususnya kaum Cina di Selangor sahaja.
“Dengan kaedah ini, ia bukan sahaja dapat menyelesaikan isu penternakan babi yang sudah lama berlaku, malah dalam masa yang sama, kerajaan negeri boleh mengoptimumkan penggunaan tanah bagi tujuan lain seperti pembangunan dan penempatan,” katanya.
Sultan Selangor juga menegaskan agar isu penternakan babi dapat dihenti dan dimuktamadkan kerana ia menimbulkan keresahan kepada semua pihak dan menjejaskan keamanan dan keharmonian masyarakat.
Sehubungan dengan itu, Mohamad Munir mengajak semua pihak untuk menghormati titah baginda dan bersama-sama menjaga perpaduan dan keharmonian masyarakat di negeri ini.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








