BERITA SEMASADALAM NEGERI

Selangor jangka guna tenaga nuklear dalam masa lima tahun – MB

SHAH ALAM – Selangor menyasarkan tempoh lima tahun untuk memulakan penggunaan tenaga nuklear sebagai salah satu sumber tenaga bersih negeri ini, lapor Bernama.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri kini berada pada peringkat awal penerokaan teknologi itu, termasuk usaha membangunkan kepakaran dan sumber manusia berkaitan.

Menurut beliau, beberapa langkah asas telah digerakkan, antaranya menghantar pegawai bagi mengikuti latihan khusus serta menjalinkan kerjasama dengan universiti tempatan.

“Jika perancangan ini berjalan mengikut jadual, pelaksanaan paling awal dijangka dalam tempoh lima tahun.

“Kita kini giat membina kapasiti, dan beberapa universiti termasuk Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) turut menunjukkan minat untuk bekerjasama,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Mariam Abdul Rashid (PH-Meru) pada sidang DUN Selangor hari ini.

Amirudin turut memaklumkan bahawa bidang tenaga nuklear di Malaysia masih belum diterokai secara menyeluruh menyebabkan sebahagian pelajar terpaksa mencari peluang di luar negara.

“Saya berjumpa sendiri dengan pelajar kita di Universiti Tsinghua, China. Mereka terpaksa meneroka bidang ini secara inisiatif sendiri kerana peluang di negara kita masih terhad,” ujarnya.

Beliau menambah, perancangan jangka panjang perlu dibuat kerana Malaysia tidak boleh terus bergantung kepada gas dan arang batu yang semakin tidak lestari berbanding tenaga nuklear serta sumber tenaga alternatif lain.

Namun beliau menekankan, faktor keselamatan, risiko kebocoran dan persepsi masyarakat masih menjadi elemen penting yang mesti diberi perhatian sambil menjadikan pengalaman negara seperti Jerman sebagai rujukan sebelum sebarang keputusan muktamad dibuat.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button