Malaysia negara pertama iktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional
BARCELONA – Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi negara pertama yang mengiktiraf penyertaan dalam Sumud Flotilla Nusantara sebagai sebuah misi nasional.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, langkah itu menzahirkan komitmen teguh negara dalam menyokong perjuangan rakyat Palestin.
Menurut beliau, pengiktirafan tersebut mencerminkan pendirian jelas kerajaan Malaysia dalam memperkukuh solidariti kemanusiaan terhadap rakyat Palestin melalui penyertaan dalam Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
“Kali ini Malaysia bukan sahaja memberi sokongan, tetapi turut mengiktiraf Sumud Flotilla Nusantara sebagai misi nasional.
“Inisiatif ini disokong oleh semua ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang,” katanya memetik laporan Berita RTM pada sidang media GSF 2.0, di sini.
BACA JUGA:
SUMUD 2.0: Amirudin ketuai misi khas Malaysia ke Gaza, bawa 374 tan bantuan kemanusiaan
Amirudin menambah, penyertaan Malaysia dalam GSF 2.0 mencerminkan sokongan padu lebih 34 juta rakyat negara ini terhadap usaha membela nasib rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan.
Beliau yang juga wakil khas Perdana Menteri dalam misi itu, turut merakamkan penghargaan kepada jawatankuasa pemandu serta semua peserta yang terlibat, selain menzahirkan harapan agar misi tersebut mencapai kejayaan.
“Saya ingin merakamkan penghargaan kepada seluruh jawatankuasa pemandu dan semua peserta GSF 2.0.
“Antara sasaran utama kita adalah untuk sampai ke Gaza, namun dalam masa yang sama, tujuan kita ialah memastikan komuniti dunia memahami isu Gaza yang melangkaui kaum, agama dan sempadan,” katanya.
GSF 2.0 melibatkan kira-kira 1,000 peserta dari lebih 70 negara dengan penyertaan lebih 70 kapal.
Inisiatif global ini bertujuan membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza serta meningkatkan kesedaran masyarakat antarabangsa terhadap krisis yang sedang melanda wilayah tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







