BERITA SEMASADALAM NEGERI

Krisis tenaga: Selangor semak semula Belanjawan 2026 tumpu kos sara hidup, sokong industri

SHAH ALAM – Kerajaan Selangor akan menyemak semula Belanjawan Negeri Selangor 2026 sebagai langkah respons terhadap kesan krisis bekalan tenaga akibat perang Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, semakan itu akan memberi tumpuan kepada kos sara hidup, bantuan kepada rakyat terjejas, sokongan kepada industri serta penerokaan peluang termasuk peralihan tenaga secara lebih pantas.

“Penutupan Selat Hormuz memberi kesan kepada bekalan bahan tenaga penting termasuk bagi sektor pengangkutan, baja dan urea untuk penghasilan makanan, selain bahan kimia serta helium yang digunakan dalam sektor hospital dan pembuatan semikonduktor,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Baca juga : Bekas Gabenor BNM terajui Pasukan Petugas Khas Krisis Tenaga Selangor

Dalam pada itu, Amirudin berkata, Kerajaan Selangor akan mengumumkan langkah berkaitan isu bekalan dan kesan terhadap harga barang, dengan fasa pertama usaha mitigasi dijangka diperkenalkan dalam tempoh dua minggu.

Sebagai langkah awal, katanya, Dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) akan dilaksanakan bermula 15 April dari hari Selasa hingga Khamis setiap minggu bagi menjimatkan penggunaan bahan api serta mengurangkan kesesakan jalan raya di samping meningkatkan produktiviti pegawai.

“Dasar ini akan disemak secara bulanan mengikut keadaan, keperluan serta keberkesanan,” ujarnya.

Menurut beliau, sektor swasta turut digalakkan melaksanakan dasar sama mengikut kesesuaian industri, manakala Kerajaan Negeri bersedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital.

“Kerajaan Negeri juga akan menghentikan urusan perjalanan rasmi ke luar negara bagi semua jabatan kecuali melibatkan usaha menggalakkan pelaburan dan pelancongan ke Selangor.

“Langkah ini bagi memastikan ekonomi tempatan, industri sokongan serta peluang pekerjaan terus terpelihara,” katanya.

Dalam masa sama, setiap jabatan di peringkat negeri diminta mengkoordinasi usaha serta program dengan beroperasi dalam mod krisis.

“Perang ini akan memberi kesan jangka panjang kepada ekonomi negara dan Selangor, justeru semua pihak perlu berganding bahu bagi menghadapi cabaran mendatang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button