Kami tidak anggap kami wira – Ahmad Musa Al-Nuwayri
KUALA LUMPUR – Salah seorang daripada aktivis Global Sumud Flotilla (GSF), Ahmad Musa Al-Nuwayri menjelaskan beliau dan rakan-rakan lain dalam misi kemanusiaan antarabangsa itu tidak pernah menganggap diri mereka sebagai wira.
Ahmad Musa yang merupakan adik kepada ketua armada Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri itu berkata, beliau sendiri tidak menyangka untuk disambut dalam satu sambutan yang begitu meriah oleh ribuan rakyat Malaysia di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada malam tadi.
“Terima kasih kepada yang hadir. Juga kepada yang menonton secara live. Dan yang terus menerus menyokong. Ini semua untuk G,” katanya dalam satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi GSF selamat tiba di tanah air sekitar pukul 10.30 malam tadi.
Beliau berkata, beliau tidak pernah beranggapan dirinya sebagai wira kerana sering diingatkan oleh Nadir Al-Nuri supaya tidak mempunyai niat berkepentingan sendiri sebaliknya berjuang demi rakyat Palestin.
“Kami tak pernah anggap kami hero. Malah Tuan Nadir berulang kali sebut sebaik kami keluar dari kapal terbang,
“Istighfar banyak-banyak. Jaga hati. Ini bukan pasal kita. Ini tentang mereka di G,” katanya.
Ahmad Musa turut mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir bagi menyambut ketibaan para sukarelawan selepas dibebaskan Israel dan diterbangkan ke Istanbul, Turkiye.
Beliau juga menjemput orang ramai berhimpun di Arena Axiata pada malam ini untuk meneruskan solidariti kepada Palestin dan mendoakan sekumpulan lagi rakyat Malaysia yang baharu sahaja ditahan oleh rejim Israel pagi tadi.
“Malam ini kita jumpa di Axiata. Kita berhimpun untuk G. Dan jangan lupa doakan kawan kawan kita yang baru dipintas penjajah dilindungi Allah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







