Antara pahala dan fitnah: Wanita perlu patuh syarak sertai misi SUMUD 2.0
KUALA LUMPUR – Penglibatan wanita Muslimah dalam misi kemanusiaan seperti Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 adalah diharuskan menurut syarak, namun perlu mematuhi beberapa garis panduan penting termasuk aspek keselamatan, pemeliharaan maruah serta keutamaan tanggungjawab terhadap keluarga.
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak, Prof Madya Dr Azmil Zainal Abidin berkata, Islam tidak menghalang penyertaan wanita dalam aktiviti kebajikan dan solidariti terhadap rakyat Palestin, malah usaha tersebut wajar dipuji sebagai manifestasi keprihatinan umat Islam.
Menurut beliau, penglibatan tokoh masyarakat termasuk selebriti dalam gerakan kesedaran mengenai penderitaan rakyat Palestin mampu menjadi contoh positif kepada generasi muda yang sebelum ini banyak dipengaruhi budaya hedonisme Barat.
“Justeru, idealisme murni ini wajar diimbangi dengan panduan syarak tanpa terdedah kepada pintu fitnah dari sudut yang lain.
“Antara isu yang mengundang kontroversi ialah isu jaminan keselamatan dan maruah para peserta wanita Muslimah dan isu keutamaan dalam konteks tanggungjawab kekeluargaan.
“Tanpa memenuhi syarat menurut panduan tersebut, maka dikhuatiri jerih-payah lagi berisiko tinggi ini tidak bernilai di sisi Allah.
“Lebih malang lagi jika sebaliknya ia mengundang pula kemurkaan-Nya yang merugikan di akhirat kelak, meskipun mungkin dipandang baik dan terpuji di mata dunia,” kata beliau dalam satu kenyataan, hari ini.
BACA JUGA:
Isu tanggungjawab keluarga dibangkitkan: Prof Izhar gesa MAPIM, SUMUD beri penjelasan
Dr Azmil menegaskan antara syarat utama penyertaan wanita dalam misi kemanusiaan di zon berisiko ialah kesedaran dan kewaspadaan para peserta wanita Muslimah agar maruah serta kehormatan diri mereka sentiasa berada di tahap tertinggi.
“Perlu dipastikan bahawa aurat mereka ditutup dengan sempurna sebagaimana batas dan adab pergaulan dengan lelaki ajnabi khasnya sentiasa kekal terpelihara sepanjang berada dalam misi tersebut.
“Hal ini kerana Islam amat memelihara kehormatan dan kemuliaan harga diri wanita Muslimah,” tegas beliau,
Sebagai pengajaran sejarah, beliau merujuk kepada kisah Khalifah al-Mu‘tasim yang bertindak mempertahankan maruah seorang wanita Muslimah yang dihina oleh pihak Romawi, menunjukkan betapa tinggi nilai kehormatan wanita dalam Islam.
Selain itu, tokoh seperti Rufaidah binti Sa‘ad al-Aslamiyyah turut menjadi contoh penglibatan wanita dalam misi kemanusiaan sejak zaman awal Islam.

Tambah beliau, perbezaan tanggungjawab antara lelaki dan wanita adalah selaras dengan firman Allah dalam Surah Ali ‘Imran ayat 36 yang menegaskan bahawa kedua-duanya diciptakan dengan fitrah yang berbeza.
“Kedua-duanya mempunyai tugas asasi, khasnya berhubung pembentukan institusi keluarga yang menjadi asas pembinaan masyarakat.
“Keutuhan masyarakat berkait rapat dengan kekukuhan institusi keluarga yang berpaksikan induk keibuannya.
“Perspektif yang memandang ringan kepentingan fungsi wanita dalam berkeluarga adalah terkesan dengan ketempangan falsafah asing yang gagal menempatkan posisi lelaki dan perempuan secara adil,” jelasnya.
Dalam konteks misi GSF 2.0, beliau menegaskan bahawa penyertaan wanita tidak termasuk dalam kategori jihad peperangan, sebaliknya ia merupakan usaha kemanusiaan yang hukumnya harus dengan syarat-syarat tertentu.
“Sesuai dengan ciri kewanitaannya, Islam tidak mewajibkan jihad memerangi musuh kafir ke atas perempuan, lantaran kelemahan dan ketidakupayaannya memikul beban dalam operasi ketenteraan.
“Sebaliknya, Baginda Nabi SAW menyatakan bahawa jihad bagi wanita adalah jihad tanpa disertai peperangan di dalamnya iaitu haji dan umrah,” katanya.
Selain itu, beliau turut membawakan hadis riwayat Imam Ahmad menyatakan bahawa wanita yang menunaikan solat lima waktu, berpuasa di bulan Ramadan, menjaga kehormatan diri serta mentaati suami akan diberi ganjaran syurga, menggambarkan kemuliaan kedudukan wanita dalam Islam.
“Wanita Muslimah yang ingin menyertainya (misi kemanusiaan) perlu memastikan jaminan keselamatan, mematuhi batas hukum syariat serta mempunyai peranan yang jelas dan bermanfaat.
“Bagi yang telah berkeluarga pula. mereka perlu meminta izin suami, lantaran tugas utama mereka adalah sebagai isteri dan ibu kepada anak-anaknya. Jika tugas asasi ini gagal disempurnakan, bagaimana kebajikan dapat dilakukan di luar lingkungan keluarganya?” katanya.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa garis panduan yang ditetapkan oleh syarak bukanlah bertujuan menyekat penglibatan wanita, sebaliknya bagi memastikan penyertaan tersebut selaras dengan fitrah dan membawa keberkatan.
“Pertimbangan fiqh al-ma’alat (implikasi) dan fiqh al-awlawiyyat (keutamaan) amat diperlukan dalam konteks ijtihad semasa.
“Tafsiran sebenar tentang wanita Muslimah dan peranannya menurut perspektif Islam juga amat mendesak diketengahkan agar mereka tidak tersasar dari agama akibat tafsiran songsang dan mesra liberal,” tegas beliau.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















