BERITA SEMASA

Nadir Al-Nuri seru dunia pecah kepungan Gaza melalui misi GSF 2.0

BARCELONA – Pengarah Sumud Nusantara, Nadir Al-Nuri Kamaruzaman menyeru masyarakat antarabangsa bersatu dalam usaha memecahkan kepungan ke atas Gaza menerusi penyertaan dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF).

Beliau yang mewakili gabungan Sumud Nusantara dengan penyertaan 20 negara di Asia Tenggara dan Asia Selatan berkata, kehadirannya dalam misi tersebut adalah bagi membawa suara rakyat Gaza yang telah lama terperangkap dalam kepungan.

Menurut beliau, pengalaman tinggal di Gaza selama sedekad dari tahun 2013 hingga 2023 memberikan gambaran jelas tentang penderitaan yang dialami penduduk di wilayah itu sejak kepungan bermula pada 2007.

sumud
Orang yang ramai yang hadir memberi sokongan sempena misi GSF 2.0 di Barcelona yang bertujuan memecahkan kepungan penduduk Gaza. – Foto Sumud Nusantara Official

“Saya datang ke sini sebagai sebahagian daripada gerakan untuk memecahkan kepungan yang saya alami secara langsung di Semenanjung Gaza.

“Hari ini, keadaan semakin buruk. Kita melihat bagaimana terdapat 10,000 orang yang sakit menunggu untuk keluar dari sempadan,” katanya ketika berucap pada majlis pelepasan misi GSF 2.0 semalam.

Nadir menegaskan bahawa misi tersebut bukan sekadar pelayaran kemanusiaan, tetapi juga satu gerakan simbolik untuk menentang ketidakadilan global serta menggugat sokongan antarabangsa terhadap tindakan Israel di Gaza.

“Kami tidak hanya belayar untuk memecahkan kepungan, tetapi juga untuk memecahkan ketidakadilan.

“Kita boleh berada di pihak yang benar dalam sejarah dengan melakukan perkara yang betul sekarang,” ujarnya menerusi hantaran video yang dimuat naik Sumud Nusantara Official.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan penghargaan terhadap sokongan kerajaan Malaysia, khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai penaung kepada gabungan Sumud Nusantara di rantau ini.

Menurutnya, gabungan tersebut mewakili lebih separuh daripada populasi umat Islam dunia, sekali gus mencerminkan solidariti besar terhadap perjuangan rakyat Palestin.

Dalam ucapannya, Nadir juga menyeru pemimpin negara-negara Islam utama seperti Pakistan, Indonesia dan Bangladesh agar memainkan peranan yang lebih aktif dalam menyokong usaha kemanusiaan dan menamatkan kepungan terhadap Gaza.

“Kita boleh melakukan perkara yang betul dan kita boleh melakukannya sekarang. Ayuh lakukan bersama dan mari kita ubah sejarah,” katanya.

GSF 2.0 yang berlepas dari Pelabuhan Barcelona menghimpunkan lebih 80 kapal dan kira-kira 1,000 peserta dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button