BERITA SEMASA

GSF 2.0: ‘Kami jadi saksi kekejaman rejim Israel terhadap aktivis tidak bersenjata’

SEPANG – Delegasi Malaysia dalam misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 menyifatkan pengalaman menyertai misi kemanusiaan ke Gaza sebagai detik yang meninggalkan kesan emosi mendalam selepas mereka dipintas dua kali oleh rejim Israel ketika cuba menyalurkan bantuan kepada rakyat Palestin.

jihan alya nordin
Dr Johan Alya Nordin

Petugas perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), Dr Jihan Alya Mohd Nordin berkata, delegasi terbabit mula dipintas di Greece sebelum sekali lagi ditahan di perairan antarabangsa ketika dalam perjalanan menuju Gaza.

Menurut beliau, pengalaman menyertai GSF 2.0 amat bermakna dan sukar dilupakan walaupun mereka berdepan detik mencemaskan termasuk layanan kasar terhadap aktivis yang tidak bersenjata.

“Kami menjadi saksi sendiri kekejaman tentera Israel terhadap aktivis yang tidak bersenjata dan kami dilayan dengan sangat brutal ketika dipintas.

“Namun apa yang kami alami ini tidak dapat dibandingkan dengan penderitaan rakyat Palestin yang sudah bertahun-tahun menanggung kesengsaraan dan kekejaman jauh lebih dahsyat,” katanya selepas tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), malam tadi.

Jihan berkata, pengalaman tersebut menguatkan lagi semangatnya untuk terus memperjuangkan isu Palestin selain menyeru solidariti masyarakat antarabangsa bagi memastikan bantuan kemanusiaan dapat terus disalurkan ke Gaza.

“Kita semua perlu memainkan peranan dan berdiri bersama untuk membantu membebaskan Palestin,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pertubuhan kemanusiaan Malaysia termasuk Cinta Gaza Malaysia, Cinta Syria Malaysia dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) selain kerajaan dan rakyat Malaysia atas sokongan sepanjang misi berkenaan.

Kapten Siva
Kapten Siva

Sementara itu, seorang lagi aktivis, S. Patmanathan atau dikenali sebagai Kapten Siva berkata, beliau akan terus menyertai misi kemanusiaan berkaitan Gaza pada masa depan.

Menurutnya, beliau amat tersentuh dengan sokongan rakyat Malaysia termasuk kata-kata anaknya yang berusia 10 tahun.

“Anak saya berkata, ‘Papa, saya bangga papa pergi ke Gaza. Kalau papa tidak balik pun tidak mengapa. Selepas 10 tahun saya pula akan sertai Sumud Nusantara’.

“Saya tidak akan berhenti daripada kerja kemanusiaan ini dan berharap dapat terus terlibat dalam misi akan datang,” katanya lagi.

Beliau berkata, apa yang disaksikan sepanjang menyertai misi tersebut masih kecil jika dibandingkan dengan penderitaan sebenar yang dialami rakyat Palestin setiap hari.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button