BERITA SEMASA

Isu tanggungjawab keluarga dibangkitkan: Prof Izhar gesa MAPIM, SUMUD beri penjelasan

BANGI – Pakar akademik, Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim menggesa pihak Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan inisiatif kemanusiaan SUMUD tampil memberikan penjelasan berhubung beberapa isu syariah yang dibangkitkan menjelang pelaksanaan misi SUMUD 2.0.

Dekan Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) itu berkata, perkara itu timbul susulan aduan diterima daripada seorang wanita yang mendakwa suaminya berhasrat menyertai misi berkenaan, namun tanggungjawab sebagai ketua keluarga masih belum ditunaikan sepenuhnya.

“Pagi ini ada isteri bakal peserta mengadu kepada saya, suami nak sertai misi SUMUD 2.0 esok tapi tanggungjawab suami tersebut tidak tertunai.

“Nasihat saya kepada NGO-NGO yang terlibat, sebelum melaksanakan apa-apa misi, rujuklah kepada institusi mufti berkaitan hukum-hakam dan kepatuhan syariah,” katanya menerusi hantaran di media sosial hari ini.

Menurut beliau, antara isu yang perlu diberi perhatian termasuk aspek pergaulan lelaki dan wanita (ikhtilat), pematuhan aurat peserta wanita, keizinan suami kepada isteri yang ingin menyertai misi serta tanggungjawab suami terhadap keluarga yang ditinggalkan.

sumud
Tangkap layar status yang dikongsi Prof Datuk Dr Mohd Izhar Ariff di Facebook.

Tegasnya, perkara-perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana ia melibatkan hukum agama serta kesejahteraan institusi keluarga.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen menzahirkan pendapat serupa.

“Betul dengan teguran Prof itu. Join Sumud amat dialu-alukan tapi pastikan urusan keluarga selesai dahulu,” komen Dapur Warisan Ambo.

“Aduhai para suami tersebut, nak berjuang demi rakyat Palestin dan Gaza tetapi abaikan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak. Perjuangan apa tu?

“Tanggungjawab kepada keluarga utamakan dahulu. Nak ganjaran pahala nanti bertukar gandaan dosa. Allahurabbi,” tulis Norlaila Borhan pula.

“Terima kasih Prof berani suarakan,” kata Shukri Sudin.

SUMUD merupakan satu inisiatif kemanusiaan yang digerakkan oleh MAPIM bagi membantu rakyat Palestin, khususnya di wilayah bergolak melalui penghantaran bantuan serta misi solidariti antarabangsa melalui pelayaran di laut.

Sejak diperkenalkan, misi ini menarik penyertaan sukarelawan dari pelbagai latar belakang termasuk profesional, aktivis dan orang awam yang ingin menyumbang kepada usaha kemanusiaan di peringkat global.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button