AGAMABERITA SEMASA

Lembaga Zakat Selangor bantu keluarga kanak-kanak lelaki kutip kotak terpakai sejak 2016

BANGI – Kisah tular seorang kanak-kanak lelaki mengutip kotak di Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, di sini, turut mendapat perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Menerusi hantaran Facebook, LZS menjelaskan bahawa keluarga kanak-kanak itu merupakan penerima bantuan zakat Selangor dalam kategori keluarga asnaf miskin sejak 2016.

“Berdasarkan siasatan dan maklumat Penolong Amil Kariah Masjid Teras Jernang, ketua keluarga tersebut kini menerima rawatan di hospital.

“Mereka mempunyai enam anak berusia antara empat hingga 21 tahun. Keluarga ini menerima pelbagai bantuan Zakat Selangor dari semasa ke semasa.

“Antaranya bantuan kewangan bulanan, bantuan pendidikan, bantuan keperluan asasi, bantuan hari raya serta bantuan lain mengikut keperluan,” kata kenyataan tersebut hari ini.

LZS turut memberi jaminan bahawa pihaknya akan terus memantau keadaan keluarga tersebut dan memastikan kebajikan mereka terjaga.

“Terima kasih kepada masyarakat yang peka dan prihatin,” tambah kenyataan itu.

Terdahulu, media melaporkan kisah pendakwah dan personaliti televisyen, Prof Madya Datuk Dr Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim yang tersentuh hati apabila bertemu seorang murid sedang mengutip kotak terpakai untuk dijual demi membantu keluarga.

Kejadian berlaku ketika beliau singgah makan di Seksyen 15, sebelum mengajak murid tersebut makan bersama.

Bagaimanapun, kanak-kanak itu menolak kerana merasakan pakaiannya kotor dan berbau busuk menyebabkan Dr Mohd Izhar membungkuskan makanan untuknya.

Kisah itu kemudian tular dan menarik perhatian ramai termasuk Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button