Insiden di KLIA: Shuhaily serah proses pendakwaan kepada mahkamah
SEPANG – Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain menyerahkan sepenuhnya kepada mahkamah untuk menjalankan proses perundangan berhubung kes yang dihadapinya.
Beliau berkata, proses sewajarnya perlu diberi ruang untuk berjalan mengikut lunas undang-undang.
“Seperti yang saya sebut tempoh hari dalam sidang media saya, saya akan membiarkan mahkamah (menjalankan tugas) dan proses sewajarnya mengambil tempat hari ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media sebelum prosiding pendakwaan di Mahkamah Majistret Sepang di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Mohd Shuhaily merakamkan penghargaan kepada seluruh masyarakat yang memberikan sokongan dan doa menerusi kiriman mesej kepada beliau.
Menurutnya, sokongan tersebut menjadi sumber kekuatan dan keyakinan untuk meneruskan proses yang sedang dihadapinya.
“Sidang media ini merupakan kali terakhir saya akan bercakap tentang perkara ini.
“Selepas sahaja selesai proses sebentar lagi, pihak peguam saya akan mewakili saya dalam hal ini. Saya tidak mahu menerima sebarang pertanyaan,” tambahnya.
Shuhaily tiba di mahkamah pada jam 7.30 pagi tadi dengan memakai sut lengkap berwarna biru ditemani Komander AKPS Pelabuhan Klang, Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.
Beliau dijangka menghadapi dua pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap Koperal Mohammad Faiz Muhamad Saman, 40, dan Muhammad Ekmal Sofwan Driman, susulan kejadian di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu.
Pertuduhan yang dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Beliau diwakili peguam, Kitson Foong.
Pada 17 Oktober lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) meminta penambahbaikan lanjut terhadap kertas siasatan berkenaan termasuk penjelasan tambahan dan tindakan siasatan lanjut sebelum memutuskan tindakan seterusnya.
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar, sebelum itu berkata beliau menerima kertas siasatan berkenaan pada 6 Oktober sebelum mengembalikannya kepada polis pada 8 Oktober.
Pada 12 Oktober lalu, anggota polis, Mohammad Faiz membuat laporan polis kali kedua dengan mendakwa telefon bimbitnya dirampas ketika beliau merakamkan kejadian berkenaan.
Peguamnya, Kamal Hisham Ja’afar dan Muhammad Nor Tamrin berkata, laporan tersebut mengandungi bukti baharu.
Dalam kejadian pada 28 September lalu, satu rakaman video CCTV tular memaparkan seorang Shuhaily memarahi dua lelaki di KLIA, termasuk mengasari salah seorang daripada mereka.
Rentetan kejadian itu, Mohammad Faiz dan Muhammad Ekmal Sofwan yang bertugas sebagai pegawai kawalan perjalanan di KLIA menafikan dakwaan mereka bertindak sebagai ‘orang tengah tidak sah’ atau terbabit dalam kegiatan counter setting.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








