AKPS rampas dadah RM8.3 juta di LTAPP, empat remaja dipercayai diperdaya sindiket TikTok ditahan
SEPANG – Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKPS) merampas 86 kilogram (kg) dadah bernilai RM8.3 juta di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) selepas menahan empat remaja yang dipercayai diperdaya sindiket menggunakan aplikasi TikTok.
Ketua Pengarah AKPS, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, keempat-empat suspek berusia bawah 25 tahun itu terdiri daripada dua pasangan iaitu pasangan kekasih dan pasangan tunang.
Beliau menjelaskan kumpulan berkenaan dipercayai bergerak dari Johor ke Pulau Pinang menaiki bas dan menginap di beberapa hotel sekitar George Town sebelum berlepas.
“Dua daripada mereka memiliki tiket perjalanan ke Manchester melalui Singapura seperti dijanjikan manakala pasangan tunang hanya diberikan tiket sehingga Singapura.
“Pasangan tunang ini enggan meneruskan perjalanan dan meminta beg mereka dikeluarkan semula,” katanya memetik laporan Buletin TV3.
Keengganan pasangan tunang meneruskan perjalanan menimbulkan kecurigaan pihak AKPS.
Pemeriksaan awal ke atas bagasi yang ditarik keluar menemui kandungan mencurigakan, dipercayai dadah.
Susulan itu, AKPS menahan kesemua empat suspek dan mengarahkan bagasi mereka disaring semula.
Kesemua suspek kini ditahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya, manakala barang kes diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia untuk siasatan lanjut.
Shuhaily menegaskan bahawa AKPS masih baharu dan hanya bertindak mengawal pintu masuk, tidak menjalankan siasatan forensik dadah.
Beliau turut menasihatkan pengembara supaya tidak membawa beg milik pihak lain dan memastikan semua sekatan perjalanan diselesaikan lebih awal, terutamanya selepas Sistem Pintar Perjalanan Malaysia (FPSS) mula beroperasi sepenuhnya sejak 31 Oktober.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








