Pengurusan kandungan AI sebabkan 18 akaun Tiktok media utama disekat?
KUALA LUMPUR – Isu sekatan terhadap 18 akaun TikTok organisasi media tempatan baru-baru ini dipercayai adalah disebabkan kecerdasan buatan (AI) aplikasi media sosial tersebut.
Sehubungan itu, menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang berhubung dengan pengendali TikTok bagi mendapatkan penjelasan mengenai isu berkenaan.
Kata Fahmi, maklumat awal diterimanya daripada pihak TikTok, akaun-akaun berkenaan disekat kerana membuat laporan berkaitan kes cabul di sebuah masjid di Batang Kali baru-baru ini yang melibatkan seorang kanak-kanak perempuan.
“Masalahnya adalah kecerdasan buatan (AI) TikTok itu sendiri, di sini sedikit amaran, AI kadangkala dia boleh jauh tersasar, dia tak faham bahawa organisasi media pelaporannya berbeza daripada kandungan dihasilkan orang biasa.
“Jadi saya telah minta supaya satu perbincangan diadakan dalam tempoh terdekat untuk memperhalusi fungsi akaun-akaun TikTok yang dimiliki oleh media supaya tak dikenakan tindakan sedemikian rupa di masa depan,” katanya.
Fahmi berkata demikian kepada pemberita selepas melancarkan kursus AI in the Newsroom anjuran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), kursus pertama dalam siri program latihan berkaitan AI untuk profesional media, di sini hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Bernama, Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin; Ketua Pengarang Bernama, Arul Rajoo Durar Raj dan Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Simon Sun.
Antara akaun yang disekat termasuk Kosmo Online, Utusan Online, Majoriti Official, Berita AlHijrah, Buletin TV3, Sinar Harian Online dan Harian Metro.
Kata Fahmi lagi, TikTok memaklumkan bahawa mereka telah meningkatkan penggunaan AI-content moderation yang ada kalanya menyebabkan salah faham berhubung kandungan yang dimuat naik di platform itu.
“Jadi di situ saya nampak ada peluang untuk kita bincang dengan pihak TikTok beri kelonggaran, atau pun mungkin beri status yang berbeza untuk syarikat-syarikat media kerana mereka membuat pelaporan dan kita pun ada garis panduan atau pun kod etika kita sendiri, jadi di situ TikTok perlu faham,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








