Pegawai AKPS ditahan disyaki terlibat aktiviti pasport terbang
JOHOR BAHRU – Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) di Kompleks Bangunan Sultan Iskandar (BSI) berjaya menggagalkan cubaan seorang pegawainya terlibat dalam aktiviti pasport terbang di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), semalam.
Komander AKPS BSI, Roszita Dim berkata, pegawai berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi selepas Unit Integriti AKPS BSI yang menjalankan pemantauan di Dewan Penumpang Masuk mengesan tindakan mencurigakan ketika pemeriksaan di kaunter MyBorderPass.
Menurut beliau, pemeriksaan awal mendapati pegawai berkenaan gagal mematuhi Arahan Pentadbiran Bil. 01 Tahun 2024 membabitkan tatacara membawa, menyimpan dan menggunakan alat telekomunikasi semasa bertugas.
“Pegawai itu mengaku membawa dua telefon bimbit ketika bertugas dan tidak membuat serah simpan di kaunter penyelia seperti diwajibkan. Dia kemudiannya dibawa ke pejabat untuk siasatan lanjut selepas gagal memberi penjelasan munasabah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Siasatan seterusnya membawa kepada penemuan lapan pasport milik warga asing iaitu enam pasport China, satu Indonesia dan satu Vietnam yang disorok dalam sebuah beg hitam di ruang simpanan motosikal Honda Vario milik pegawai tersebut yang diparkir dalam kawasan BSI.
“Suspek ditahan mengikut Seksyen 12(1)(f) Akta Pasport 1966 (Akta 150) kerana memiliki pasport atau dokumen perjalanan yang dikeluarkan untuk individu lain tanpa kuasa sah.
“Kita turut menyita motosikal, lapan pasport yang dirampas serta dua telefon bimbit milik pegawai terbabit,” jelasnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








