BISNES & EKONOMI

CIMB nafi rancang penswastaan CIMB Niaga

KUALA LUMPUR – CIMB Group Holdings Berhad (CIMB) menafikan dakwaan bahawa kumpulan perbankan itu merancang untuk menswastakan anak syarikatnya di Indonesia, PT Bank CIMB Niaga Tbk.

Dalam satu kenyataan hari ini, CIMB menegaskan bahawa tiada keputusan dibuat atau cadangan rasmi dikemukakan berhubung kemungkinan penswastaan bank berkenaan.

“CIMB Niaga kekal sebagai sebahagian penting daripada rangkaian operasi serantau kumpulan, dan kami kekal komited terhadap operasi di Indonesia,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pihaknya turut menegaskan komitmennya untuk mematuhi semua garis panduan kawal selia yang berkaitan, termasuk keperluan minimum pegangan saham awam.

Sebelum ini, CIMB Investment Bank Bhd dilaporkan berkata kumpulan itu sedang mempergiat usaha untuk menyahsenaraikan CIMB Niaga, selain merancang mengadakan perbincangan dengan pihak pengawal selia berhubung perkara itu.

Menurut nota penyelidikan bank pelaburan itu, penswastaan merupakan antara pilihan yang dipertimbangkan bagi menangani keperluan minimum pegangan awam CIMB Niaga, selain penempatan saham kepada pelabur strategik dan tawaran awam permulaan (IPO) semula.

CIMB kini memegang 92.46 peratus kepentingan dalam CIMB Niaga, yang merupakan sebahagian daripada operasi kumpulan perbankan itu di Indonesia.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button