LUAR NEGARA

Zelensky sahkan perkongsian risikan AS kini berfungsi semula

OSLO – Presiden Ukraine, Volodymyr Zelensky mengesahkan perkongsian risikan Amerika Syarikat (AS) berhubung serangan peluru berpandu Rusia kini kembali berfungsi selepas mengadakan pertemuan dengan utusan khas Presiden Donald Trump, Steve Witkoff di Oslo, Norway.

Zelensky berkata, perkongsian maklumat itu penting bagi membolehkan Ukraine memberi amaran awal kepada orang awam mengenai ancaman serangan peluru berpandu balistik.

“Kami berterima kasih kerana risikan kini berfungsi. Ini amat penting untuk rakyat kami, termasuk kanak-kanak dan orang awam, supaya mereka dapat menerima amaran apabila peluru berpandu balistik dilancarkan,” katanya memetik laporan BBC News.

Pertemuan itu berlangsung selepas Kyiv mendakwa, Washington menahan perkongsian risikan penting, dakwaan yang ditolak Setiausaha Negara AS, Marco Rubio.

Presiden Finland, Alexander Stubb yang turut menyertai rundingan itu berkata, terdapat ‘kemajuan sebenar’ dalam usaha mencapai keamanan, namun mengingatkan bahawa proses berkenaan memerlukan kesabaran.

Zelensky dan sekutu Eropahnya kini menantikan maklum balas Rusia terhadap cadangan yang dibincangkan, menjelang pertemuan Witkoff dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin di Saint Petersburg.

Beliau turut menegaskan Ukraine bersedia berunding bagi menamatkan perang yang bermula dengan pencerobohan besar-besaran Rusia pada 2022 sambil menekankan keperluan jaminan keselamatan kukuh untuk negaranya.

Sementara itu, Trump sekali lagi mendesak Kyiv mencapai persetujuan bagi menamatkan konflik berkenaan, ketika serangan dron Rusia dilaporkan mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang di beberapa kawasan Ukraine semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button