SUMUD 2.0: Amirudin ketuai misi khas Malaysia ke Gaza, bawa 374 tan bantuan kemanusiaan
SHAH ALAM – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari diamanahkan sebagai wakil khas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengetuai Misi Bantuan Kecemasan Malaysia ke Gaza menerusi penyertaan dalam delegasi Global Sumud Flotilla 2.0.
Misi kemanusiaan berprofil tinggi itu dijadualkan membawa sebanyak 30 kontena mengandungi 374 tan bantuan bagi membantu rakyat Palestin yang terus berdepan krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di Gaza.

Menurut kenyataan Pejabat Datuk Menteri Besar Selangor hari ini, misi berkenaan dianjurkan oleh Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dengan Amirudin dijadualkan berlepas pada 5 April ini.
“Beliau akan mengetuai delegasi kemanusiaan Malaysia bagi memastikan proses pelepasan bantuan di Kaherah berjalan lancar, selain memimpin sidang khas di Pintu Sempadan Rafah sebagai tanda ketegasan pendirian Malaysia terhadap isu kepungan Gaza,” menurut kenyataan tersebut.
Dalam masa sama, Amirudin turut dijadual memantau pelepasan Delegasi Sumud Nusantara di Pelabuhan Barcelona, Sepanyol sebagai sebahagian daripada usaha solidariti antarabangsa membantu rakyat Palestin.
Misi tersebut disifatkan sebagai penuh cabaran dan berisiko, justeru seluruh rakyat Malaysia diseru untuk mendoakan keselamatan serta kelancaran perjalanan semua petugas yang terlibat.
“Malaysia kekal konsisten dalam menyuarakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin serta menentang kezaliman rejim Zionis Israel yang berterusan di Gaza,” kata kenyataan itu lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








