BERITA SEMASA

Malaysia hantar 30 kontena bantuan kemanusiaan ke Gaza

SEPANG – Malaysia akan menghantar sebanyak 30 kontena memuatkan barangan bantuan kemanusiaan seberat 374 tan ke Gaza bagi membantu rakyat Palestin.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amiruddin Shari berkata, bantuan berupa pelbagai barangan keperluan harian termasuk ubat-ubatan itu dijangka memanfaatkan lebih 100,000 rakyat Palestin jika misi berjaya.

“Sebab itu misi ini datang dengan pelbagai tujuan. Ada datang dengan bantuan kecemasan yang akan kita bawa lebih 30 kontena hasil sumbangan orang ramai, syarikat, negeri dan kerajaan untuk ringankan beban.

“Anggaran kita hanya 100,000 orang yang akan terkesan kalau kita berjaya melunaskan misi kali ini.

“Dan ia sudah pasti akan membuka pintu lebih luas kepada kehadiran bantuan-bantuan sokongan yang selama ini ataupun dalam tempoh beberapa tahun tersekat dan diganggu oleh Zionis,” katanya pada Majlis Pelancaran Misi Bantuan Kemanusiaan 30 Kontena Malaysia ke Gaza, di sini hari ini.

Misi anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) itu akan diketuai Amiruddin yang bertindak mewakili Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pada masa sama, Amiruddin turut akan mengetuai delegasi Malaysia dalam pelayaran Global Sumud Flotila (GSF) 2.0 yang dijangka berlepas dari Barcelona, Ahad depan.

Beliau seterusnya berkata, misi kemanusiaan itu juga membawa satu suara mewakili masyarakat dunia bagi menggesa secara tegas kepada pembebasan Palestin.

“Ini ialah mesej kemanusiaan dan kami berusaha untuk membawa mesej itu mewakili dunia dan masyarakat yang prihatin untuk sama-sama melihat pembebasan Palestin.

“Insya Allah kita akan cuba sedaya upaya untuk melaksanakan amanah ini dengan sebaik mungkin.

“Seperti misi tahun lalu, kita yakin akan berdepan dengan cabaran-cabaran tertentu dan kepada Allah kita letakkan harapan,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button