PRN Selangor: ‘Kita Selangor’ slogan PH
SHAH ALAM – Slogan ‘Kita Selangor’ akan menjadi tawaran Pakatan Harapan (PH) dalam kempen mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos depan.
Pengerusi PH Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, slogan tersebut membawa mesej penting dan tersendiri kepada rakyat negeri serta digunakan secara meluas dalam program dan inisiatif dilaksanakan kerajaan sejak diperkenalkan semasa pandemik Covid-19 melanda negara.
“Bagi PH, ‘Kita Selangor’ sarat dengan pengalaman, rekod perkhidmatan dan realiti diterima secara nyata oleh rakyat ketika ini,” katanya dalam satu temu bual bersama Bernama.
Jelas Amirudin yang juga penyandang Menteri Besar, slogan tersebut membawa aspirasi rakyat Selangor yang sentiasa bersatu padu dalam apa jua keadaan itu akan ditambah perkataan atau ayat tertentu bagi disesuaikan dengan semangat dalam berkempen.
Sementara itu, ketika mengulas mengenai penggunaan slogan ‘Selangor Baharu’ oleh Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRN, Amirudin yang menerajui kerajaan Selangor sejak Jun 2018 berkata, slogan itu tidak lebih sekadar propaganda politik.
Sambil mempersoalkan nilai dan motivasi di sebalik ‘Selangor Baharu’, beliau hairan mengapa sehingga kini tiada perincian diberikan sejak ia diperkenalkan.
Hari pengundian untuk PRN Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan telah ditetapkan pada 12 Ogos, manakala penamaan calon pada 29 Julai dan pengundian awal 8 Ogos nanti.
DUN Selangor mempunyai 56 kerusi, dengan PH memiliki 40 kerusi (PKR-19, DAP-15, Amanah-enam), BN (lima), Bersatu (empat), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dua, manakala Pas, Pejuang dan Warisan masing-masing satu kerusi serta seorang Adun bebas.
Satu lagi kerusi iaitu DUN Batang Kali telah diisytiharkan kosong sebelum ini selepas wakil rakyatnya tidak menghadiri sidang DUN selama lebih enam bulan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








