BERITA SEMASA

PM arah teliti akses dokumen sejarah negara di bawah OSA – Fahmi

PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju secara dasar untuk menetapkan satu ketetapan umum bagi membolehkan dokumen sejarah negara yang diklasifikasikan sebagai rahsia di bawah Akta Rahsia Rasmi 1972 (OSA) dinyahklasifikasikan.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan cadangan yang dikemukakan oleh para sejarawan dalam Mesyuarat Majlis Sejarawan Negara Bilangan Kedua Tahun 2026 baru-baru ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan supaya proses semakan terhadap status dokumen berkenaan dilaksanakan segera, namun perlu dilakukan secara teliti dengan mengambil kira aspek keselamatan dan perundangan.

Menurutnya, penelitian itu akan melibatkan Jabatan Peguam Negara (AGC), Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menilai tahap sensitiviti setiap dokumen sebelum keputusan penyahklasifikasian dibuat.

“Perdana Menteri mengarahkan supaya perkara ini dilaksanakan segera tetapi dengan teliti.

“Kita akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara, PDRM dan KDN bagi meneliti beberapa aspek berkaitan.

“Dokumen yang mungkin tidak terlalu sensitif tetapi sebelum ini tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi mungkin boleh dinyahklasifikasikan terlebih dahulu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.

Fahmi berkata, semakan berkenaan turut bertujuan meneliti implikasi perundangan serta mekanisme yang sesuai bagi memudahkan akses kepada dokumen sejarah negara.

Pelaksanaan langkah itu dijangka memberi ruang lebih luas kepada ahli akademik, penyelidik dan orang awam untuk mendapatkan akses kepada rekod sejarah serta maklumat berkaitan peristiwa penting negara yang sebelum ini dikategorikan sebagai dokumen terperingkat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button