Tubuh Suruhanjaya Siasatan Diraja siasat kemelut institusi kehakiman negara
KUALA LUMPUR – Satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) dicadangkan bagi menyiasat dakwaan berhubung kemelut dalam institusi kehakiman yang disifatkan mampu menjejaskan kredibiliti kerajaan serta keyakinan rakyat terhadap badan kehakiman negara.
Gesaan itu dibuat susulan dakwaan kelewatan pelantikan hakim-hakim kanan dan dakwaan campur tangan dalam keputusan kes mahkamah, termasuk pengaruh terhadap pelantikan Ketua Hakim Negara dan Presiden Mahkamah Rayuan.
Menurut Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Rafizi Ramli, maklumat tersebut termasuk laporan bahawa pencalonan pelantikan hakim yang telah dikemukakan oleh Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) dan tidak diambil tindakan segera oleh pihak kerajaan.
“Lebih membimbangkan apabila dikatakan seorang hakim Mahkamah Persekutuan telah dipanggil JAC untuk memberi penjelasan mengenai dakwaan cubaan mempengaruhi keputusan satu kes serta pertukaran hakim,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membacakan kenyataan bersama yang ditandatangani oleh sembilan wakil rakyat PKR termasuk bekas Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Subang Jaya hari ini.
Hadir sama, Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail; Ahli Parlimen Subang, Wong Chen; Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan, Ahli Parlimen Balik Pulau, Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik dan Ahli Parlimen Ledang, Syed Ibrahim Syed Noh.
Dua lagi ahli Parlimen PKR yang tidak hadir namun menyokong pendirian berhubung reformasi institusi kehakiman itu ialah Ahli Parlimen Sungai Siput, S Kesavan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Onn Abu Bakar.
Menurut Rafizi lagi, keadaan pada ketika ini menyerupai skandal video VK Lingam pada 2007 yang pernah mencetuskan krisis keyakinan terhadap institusi kehakiman negara.
Tambah Rafizi yang juga bekas Menteri Ekonomi, Suruhanjaya Diraja berkenaan perlu ditubuhkan segera bagi menyiasat dakwaan tersebut secara menyeluruh dan telus.
“Sebarang pencalonan baharu bagi jawatan utama dalam institusi kehakiman juga hendaklah ditangguhkan sehingga proses siasatan dijalankan,” katanya.
Tegas Rafizi, Parlimen perlu memainkan peranan utama sebagai cabang perundangan yang bebas, termasuk memanggil Perdana Menteri untuk memberi keterangan dalam prosiding siasatan Parlimen.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







4 Comments