POLITIK

Kemenangan 48 kerusi di Johor isyarat rakyat mahu kestabilan – Zahid

SEREMBAN – Kemenangan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor baru-baru ini yang menyaksikan BN memenangi 48 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) disifatkan sebagai isyarat rakyat mahukan kestabilan politik dan pentadbiran berkesan.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu bukan sekadar kemenangan pilihan raya negeri, sebaliknya mencerminkan keyakinan rakyat terhadap kepimpinan yang mampu memacu ekonomi serta mentadbir dengan penuh tanggungjawab.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, BN yakin mesej sama akan diterjemahkan rakyat Negeri Sembilan pada PRN akan datang.

“Keputusan di Johor bukan kemenangan pilihan raya negeri semata-mata. Saya percaya ia manifestasi terhadap kepimpinan yang mampu beri kestabilan politik, pacu ekonomi dan tadbir dengan tanggungjawab.

“Saya yakin kemenangan itu mesej besar yang dihantar oleh bangsa Johor. Bangsa Johor telah memilih kestabilan. Apa pula kata bangsa Nogori?” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Jentera dan Pengumuman Calon BN PRN Negeri Sembilan di Paroi, malam tadi.

Zahid berkata, BN kekal menjadi wadah politik yang mencerminkan wajah Malaysia menerusi gabungan pelbagai kaum berasaskan sikap saling menghormati serta menolak politik perkauman.

Katanya, pengundi termasuk golongan atas pagar memilih kerajaan berdasarkan rekod pencapaian dan prinsip, bukan retorik politik.

“Mereka memilih kerajaan yang ada prinsip dan tidak menuding jari kalau tidak mampu memimpin dengan baik,” katanya.

Bagaimanapun, Zahid mengingatkan kemenangan BN di Johor tidak menjamin kejayaan di Negeri Sembilan kerana setiap negeri mempunyai cabaran politik tersendiri.

“Padang lain, lubuknya lain. Kemenangan di Johor bukan tiket untuk menang di Negeri Sembilan,” katanya.

Beliau berkata, BN akan terus membawa pendekatan berteraskan kestabilan, pengalaman serta keupayaan mentadbir bagi mendapatkan kembali kepercayaan rakyat Negeri Sembilan.

“Rakyat tidak mahu drama politik. Rakyat mahu pemimpin bekerja, masalah diselesaikan,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button